Berita Harian, 16 Disember 1999
KETOKOHAN dan keterampilan Ibnu Sina, Al-Razi, Al-Khawarizmi, Micheal
Faraday, Thomas Alva Edison dan Alexander Graham Bell yang diakui sebagai
barisan saintis yang mempelopori perjalanan sejarah sains dan teknologi
dunia telah membuka pelbagai persaingan yang lebih hebat di zaman ini.
Rentasan sejarah ini semakin hampir di gerbang millennium ketiga iaitu
di ambang abad ke-21. Era siber atau era digital ini sekali gus memaparkan
dunia bagaikan hampir kehilangan batas geografi, masa dan politik yang
memisahkan antara negara yang menjadi warganya.
Dunia bagaikan sebuah kampung yang memperlihatkan masyarakat zaman ini
berlumba-lumba membina komuniti siber, persaingan teknologi, kebangkitan
pekerja berpengetahuan, persaingan dalam inovasi, keusahawanan dan ekonomi
digital, peningkatan capaian sumber maklumat, kekuatan teknologi dalam
pembetukan sosial, kepantasan kadar perubahan teknologi, kelahiran
kerajaan elektronik dan sebagainya.
Dengan adanya sains dan teknologi, seolah-olah tahun 50-an dengan tahun
90-an dipisahkan oleh dimensi kehidupan manusia seperti perubahan cara
hidup, cara berfikir, dan corak pembangunan sesebuah negara yang
berlainan. Oleh itu, kemampuan sains dan teknologi membentuk satu orde
baru yang berkiblatkan sains dan teknologi tidak wajar dipertikaikan.
Pembabitan sains dan teknologi dalam usaha mencapai hasrat futuristik
negara bagi merealisasikan wawasan pembetukan gagasan kemajuan dalam
tempoh tiga dasawarsa adalah satu pembabitan yang dominan. Serentak dengan
ini masyarakat Malaysia khususnya golongan mahasiswa perlu berusaha bagi
meleburkan imej sebagai kelompok yang pasif kepada yang agresif.
Agresif yang dimaksudkan ialah dalam aspek mempamerkan komitmen dan
iltizam untuk merealisasikan kecemerlangan impian masa depan yang dikongsi
bersama.
Pendekatan sains dan teknologi adalah agen dan mangkin positif dalam
pembabitan mahasiswa bagi meleburkan imej sesebuah negara membangun dan
seterusnya menjaga imej sesebuah negara maju.
Jentera penggerak adalah diperlukan bagi menggerakkan lagi fungsi sains
dan teknologi. Jentera penggerak yang diharapkan ialah golongan mahasiswa
yang membudayakan maklumat dalam kehidupan.
Pendekatan bagi melahirkan satu generasi mahasiswa yang bermaklumat
mempunyai objektif yang jelas. Semua matlamat ke arah melahirkan mahasiswa
yang menjurus kepada satu konsep yang sama, iaitu bagi memajukan sektor
ekonomi negara. Antara pendekatan ini ialah melahirkan mahasiswa yang
bermaklumat, mengukuhkan sektor ekonomi negara dan mengoptimumkan sistem
birokrasi negara.
Melahirkan mahasiswa yang bermaklumat
Hidup di tengah-tengah kepesatan pembangunan sebenarnya menagih individu
yang bermaklumat bagi menggerakkannya. Pendedahan tentang pengetahuan,
aplikasi dan kemahiran maklumat akan dapat merangsangkan pemikiran yang
saintifik. Menurut pakar psikologi Britain di dalam satu fragmen:
"...constant exposure towards a subject would stimulate the mind and
thoughts about the subject". Leahey, T 1987 (pendedahan yang berterusan
kepada sesuatu perkara akan merangsangkan pemikiran tentang perkara itu
sendiri).
Situasi ini bertepatan sekali dengan cara pendekatan maklumat berfakta
yang dipraktikkan di instisusi-instisusi pendidikan di Malaysia. Mungkin
ini adalah satu petunjuk bahawa negara kita akan berjaya mencapai visi ke
arah melahirkan mahasiswa yang bermaklumat.
Penghasilan mahasiswa yang bermaklumat seharusnya dititikberatkan atas
dasar kepentingannya dalam memajukan sektor ekonomi yang berunsurkan fakta
dan maklumat. Mahasiswa yang mempunyai cara pemikiran yang bermaklumat
akan menjadi tulang belakang yang menyokong pembangunan ekonomi dan
infrastuktur sesebuah negara. Dengan itu, wajarlah tindakan yang diambil
oleh kerajaan dalam usaha melahirkan pelajar yang bermaklumat
dilaksanakan.
Mengukuhkan sektor ekonomi negara
Pembangunan dalam sektor ekonomi adalah objektif dominan dalam
pendekatan mahasiswa bermaklumat. Definisi pembangunan dalam sektor
ekonomi mencakupi satu ruang lingkup yang luas pengertiannya. Cara
pemahaman dan pendekatan yang berlainan kadangkala membawa tafsiran
berlainan mengenai konsep pembangunan.
Sebagai contoh, ahli psikologi Barat moden yang bersifat sekularistik
mantafsirkan pembangunan sebagai usaha mempertingkatkan pertumbuhan,
perkembangan dan kemajuan hidup manusia ke tahap maksimum dalam aspek
duniawi dengan berpandukan kemajuan sains dan cita-cita masyarakat
(Dunwell & Wendell, 1976).
Konsep yang diutarakan ini bercanggah dengan konsep dan pendirian
kerajaan terhadap pembangunan dalam sektor ekonomi di Malaysia. Tafsiran
Dunwell & Wendell ini lebih condong kepada konsep sekularisme yang hanya
mempertimbangkan aspek duniawi berpandukan kemajuan sains tanpa
mempertimbangkan aspek ukhrawi.
Bagaimanapun, fokus perbincangan ini adalah mengenai peranan maklumat
atau maklumat dalam pembangunan seperti yang dibuktikan dalam teori
Dunwell & Wendell di atas. Ini menunjukkan mahasiswa bermaklumat amat
perlu bagi membangunkan sektor ekonomi di Malaysia.
Aktiviti pembangunan yang seimbang biasanya akan membabitkan pemindahan
teknologi. Runtuhan daripada itu, perantaraan dalam pemindahan teknologi
adalah perlu.
Individu yang mempunyai pemikiran serta bermaklumat merupakan individu
yang paling sesuai diketengahkan sebagai medium perantaraan kepada aliran
pemindahan sains dan teknologi ini. Proses pemindahan teknologi bukanlah
satu perkara yang mudah sebaliknya membabitkan kos serta kepakaran yang
tinggi.
Proses maklumat terpaksa melalui beberapa proses yang memerlukan
individu yang mampu menjadi medium kepada aliran teknologi. Sekiranya
individu yang bermaklumat kurang jumlahnya, sudah pasti proses pemindahan
maklumat akan menjadi lebih sukar dan lebih rumit lagi pelaksanaannya.
Fokus yang paling penting sekali yang perlu diberi penekanan yang lebih
ialah tentang individu yang menjadi medium pemindahan ini. Hasil individu
yang mempunyai pemikiran berteraskan maklumat atau maklumat sahaja yang
dapat diketengahkan dalam hal ini.
Mengoptimumkan sistem birokrasi negara
Kesan jangka panjang mahasiswa bermaklumat pastinya membuahkan kesan di
pelbagai peringkat sistem pentadbiran negara. Kemajuan yang dicapai
seperti penubuhan Putra Jaya di Lingkungan Koridoraya Multimedia managih
golongan terdidik terbaik yang boleh dijanakan secara optimum.
Keberkesanan perkhidmatan selain kemudahan berlandaskan aplikasi yang
berlaku seklaigus masa yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu masalah
dapat dikurangkan. Gambaran ini perlulah berterusan bermula daripada
aktiviti berpersatuan di institusi pengajian dan pendidikan sebagai
pemangkin aset kepimpinan yang diadunkan dengan budaya bermaklumat ke arah
mencetuskan anjakan paradigma kepada institusi masyarakat, rakyat dan
negara kendiri.
Kesimpulannya, dalam kemajuan era maklumat, negara semakin banyak
memerlukan kepakaran, kemahiran dan pemikiran yang bermaklumat.
Mengikut kesesuaian pada masa kini, cara pemikiran yang bermaklumat
adalah pemikiran yang terbaik.
Sebagai negara yang berkiblatkan sains dan teknologi, seharusnya
mahasiswa Malaysia menunjukkan komitmen, semangat dan iltizam untuk
menjayakan pendekatan ke arah melahirkan mahasiswa yang berfikiran
saintifik.