Idealis Mahasiswa


Memupuk Pemimpin Siswa Berwibawa

Berita Harian, 4 November 1992

PERSOALAN mengenai mahasiswa dan pergerakan perjuangan pelajar di institusi pengajian tinggi adalah subjek menarik.

Di Malaysia perjuangan pelajar menempa sejarahnya tersendiri. Begitu juga pergerakan pelajar di Korea, Jepun dan beberapa negara maju lainnya. Di tengah kelompok pelajar yang ramai itulah, muncul pemimpin pelajar yang menjadi tonggak mencorakkan kegiatan serta perjuangan pelajar.

Baru-baru ini, Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) Skudai, Johor Bahru menganjurkan seminar kecemerlangan mahasiswa peringkat kebangsaan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Usaha ini patut dipuji kerana ia membuka horizon pemikiran mahasiswa berbicara serta menganalisis segala aspek berkaitan kegiatan kemahasiswaan serta isu semasa. UTM sendiri tidak kurang hebat melahirkan ramai pemimpin pelajar berwibawa menduduki pelbagai jawatan penting dalam sektor awam, pentadbiran, korporat dan politik.

Dalam seminar itu ada satu forum bertajuk Ke Arah Melahirkan Pemimpin Pelajar Yang Berkualiti dan Berwibawa. Tajuk itu nampak mudah kerana kita boleh menyenaraikan segala ciri diperlukan pemimpin pelajar.

Namun demikian ada beberapa ciri utama yang sepatutnya ada pada seseorang pemimpin pelajar untuk menjadikannya berwibawa dan berkualiti, sama juga seperti pemimpin politik, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan, pemimpin pelajar mempunyai tanggungjawab besar terhadap diri dan orang yang dipimpin.

Di dalam al-Quran surah Al-Zariyat (51:56) ada menjelaskan sepotong ayat yang bermaksud; "Dan tidak Aku (Allah) menjadikan kamu melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu."

Ayat ini ringkas tetapi padat memberi penegasan bahawa manusia walau apa pun kedudukan, pangkat dan hirakinya perlu mengabdikan diri kepada Allah. Seluruh kerangka hidupnya, manusia haruslah menjuruskan penyembahannya yang mutlak kepada Allah s w t.

Pemimpin pelajar perlu menjadikan ini syarat utama dalam menjalankan tugas hariannya sama ada di bilik kuliah, mengendalikan mesyuarat persatuan atau beraksi di gelanggang politik kampus.

Seorang pemimpin pelajar patut mengkaji ayat-ayat al-Quran yang khususnya membicarakan konsep kepemimpinan dan meneliti perjalanan (sirah) Nabi Muhamad s a w dalam menerajui ummah.

Perhatikan bagaimana Nabi Muhamad s a w walaupun diakui kemaksumannya, sentiasa bermunajat kepada Tuhan dengan beristighfar dan memohon bantuan Allah.

Itulah antara senjata dan kekuatannya sebagai pemimpin selain kepemimpinannya yang hebat. Semuanya diamalkan untuk membina kekuatan rohani sebagai bekalan memimpin ummah. Hanya pemimpin mempunyai kekuatan kerohanian yang mantap mampu berhadapan dengan segala sepak terajang dan politiking masyarakat.

Pemimpin pelajar walaupun berada dalam skop masyarakat kampus yang mikro sifatnya tidak terlepas daripada politiking yang boleh menggugat ketahanannya. Ia berhadapan dengan pelajar yang mungkin berlainan ideologi, kritikan pihak tertentu dan segala karenah pentadbiran birokrasi, khususnya bahagian Hal-Ehwal Pelajar (HEP).

Semua itu harus dihadapi dengan tabah, dengan kepala dingin dan bukan melayan sikap `mudah naik angin' atau the angry young man yang tabiinya mudah melenting.

Pemimpin pelajar perlu bertakwa kerana itulah sahaja penawar dalam menangkis segala dugaan, fitnah dan gejolak kehidupan di kampus.

Ciri kedua yang harus ada pada pemimpin pelajar ialah sikap istiqamah atau konsisten dalam perjuangan. Ia harus mendukung prinsip tertentu yang menjadi pegangan perjuangan dan tidak mudah mengorbankan prinsipnya. Ia mesti yakin dengan prinsipnya walaupun ia mungkin menyebabkan dia tidak popular dan tidak disenangi pihak lain.

Misalnya, mempertahankan prinsip kesederhanaan, sedia untuk berunding dan mengelakkan pendekatan konfrontasi. Memang jika dilihat sikap sesetengah pemimpin pelajar mahu menyelesaikan sesuatu isu melalui pendekatan demonstrasi atau tunjuk perasaan.

Cara ini popular pada tahun 70-an tetapi sudah lapuk dan tidak sesuai dalam konteks pelajar hari ini yang semakin menekankan tradisi pemikiran kritis dan budaya perbincangan. Lagi pun tidak banyak kesan ditinggalkan melalui tunjuk perasaan walaupun pemimpin pelajar boleh popular untuk seketika.

Adalah lebih baik jika perjuangan pelajar dibina berasaskan rasionalisme dengan menyediakan program bertindak yang mampan. Misalnya, dalam satu penggal pentadbiran persatuan, pemimpin pelajar boleh menyediakan sekurang-kurang dua program besar yang boleh membantu menaikkan imej persatuan mahasiswa.

Ini terpulanglah kepada kebijaksanaan pemimpin pelajar membuat perancangan dan strategi. Bagaimanapun sehingga sekarang nampaknya belum ada persatuan pelajar melaksanakan program mengenai alam sekitar yang kini menjadi tajuk penting banyak pihak.

Ciri ketiga - pemimpin pelajar harus berupaya mengemukakan sesuatu isu, pendapat atau pandangan dengan mendalam yang selayaknya sebagai pemimpin.

Analisis mereka terhadap sesuatu isu mesti bernas dan menggambar kematangan. Mereka tidak harus bersikap emosional dan terperangkap dengan slogan muluk tetapi tidak mampu bertahan lama.

Pemimpin pelajar seharusnya mampu melihat isu semasa baik di dalam negeri mahu pun luar negara dalam konteks lebih menyeluruh. Misalnya, dalam isu di Bosnia-Herzegovina. Sikap dan pendirian mahasiswa sangat dinanti-nantikan, tetapi malangnya setakat ini kita belum mendengar pandangan kritis pemimpin pelajar.

Begitu juga dalam pergolakan semasa lain seperti isu Bahasa Melayu, Orde Baru Dunia dan Wawasan 2020. Bagaimana dan di manakah suara pemimpin pelajar kita?

Sebagai golongan berilmu, pandangan, pendapat pemimpin pelajar juga penting kerana mereka bakal pemimpin bangsa dan negara masa depan.

Bagaimanapun sifat kritis, kritikal dan bernas tidak lahir dengan sendirinya. Pemimpin pelajar perlu meluaskan pembacaan dan tidak seharusnya terhad dalam disiplin pengajian mereka sahaja.

Buku, majalah, risalah, jurnal dalam bidang seperti sastera, sains sosial, hal-ehwal antarabangsa, ekonomi, politik, kebudayaan dan pendidikan membantu ketajaman minda dan intelektualisme pemimpin pelajar.

Melalui cara ini kita dapat memupuk perkembangan budaya ilmu dengan setiap pelajar menghargai ilmu, bersikap rasional dan menghindarkan berfikir streotaip.

Satu lagi ciri asas yang patut menjadi pegangan pemimpin pelajar ialah sikap terbuka. Pemimpin harus bersedia mendengar pandangan semua pihak hatta pandangan yang berbeza dengan pendirian kita.

Terpulanglah kepada kita sendiri menerima atau menolak setiap pandangan itu. Kadangkala pandangan berbeza dan kritikan dari rakan mahu pun lawan boleh membantu meningkatkan kewibawaan kita bertindak dan menyusun strategi.

Sikap mengatakan "aku sahaja yang betul" tidak wajar kerana sebagai pemimpin kita sentiasa menjadi perhatian umum dan terdedah kepada kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Namun demikian sikap terbuka bukan bermakna kita sanggup menggadai prinsip sehingga kehilangan maruah dan harga diri.

Itulah empat ciri utama yang boleh membantu melahirkan pemimpin pelajar berkualiti dan berwibawa. Ciri-ciri lain itu boleh ditokok tambah dan disesuaikan dengan cara serta pendekatan perjuangan pelajar.

Pokoknya jika empat ciri itu dapat disebatikan, kampus tidak mungkin lesu dan pasif.

Institusi pengajian tinggi memerlukan pemimpin pelajar yang baik dan memiliki ciri dinamik yang bersepadu di segi intelektualisme, akhlak dan wawasan perjuangan yang lebih jelas.

Zaman pelajar atau dunia kampus adalah asas terbaik bagi membina karisma kepemimpinan sebelum terjun dalam kancah kehidupan sebenar yang lebih mencabar. Kerana itulah mahasiswa sering dikaitkan sebagai agen penggerak zaman dan pencetus perubahan masyarakat.



Halaman Utama


Hit
[ ]

Copyright ©2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved