Dikemaskinikan Pada Khamis, 3 Oktober 2002 8:00 AM

ABIM, JIM Tidak Perlu Saling Bertelingkah

Mohd. Shah Abdullah,
Berita Harian, 23 Januari 1997

SEORANG penganalisis politik tanah air dalam sebuah tulisannya menerusi majalah nasional berbahasa Melayu ketika menyorot kedudukan Umno selepas pemilihan 1996 lalu membuat pengamatan mengenai pembabitan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Jemaah Islah Malaysia (Jim) ke dalam wadah politik terbesar orang Melayu itu. Katanya, jika dulu kemasukan tokoh Abim ke dalam Umno dianggap satu tembusan politik daripada `infiltration' kepada `penetration', kini proses yang sama mula diraih tokoh Jim, yang dulunya dikenali sebagai Islamic Representatives Council (IRC) atau Majlis Syura Muslimun (MSM).

   Menurut penulis itu lagi, kehadiran golongan Abim dan Jim dalam pergerakan Pemuda (rujukan khusus penulis berkenaan) adalah satu unsur yang menarik dari segi jangka panjang dalam Umno. Umno yang ditentang Abim dan IRC sebelum ini kerana nasionalisme Melayu yang dihisab sebagai `unislamic' dan assabiyah, kini sudah berubah? Demikian kesimpulan penulis itu.

   Apakah benar sikap kedua-dua pertubuhan Islam itu memusuhi kerajaan (Umno) dengan mengecapnya sebagai `unislamic' atau assabiyah? Sudah tentu hujah penulis terbabit boleh diperhalusi terutama jika melihat cara, kaedah, pendekatan, matlamat dan penampilan individu dalam Abim dan Jim (baca IRC). Walaupun kedua-dua kumpulan ini dianggotai kumpulan intelektual muda Melayu yang menjadikan Islam sebagai landas perjuangan, Abim menempa sejarah lebih awal daripada Jim. Sementara Abim sudah bertapak sejak kira-kira tiga dekad lalu, Jim hanya mengembangkan sayapnya di Malaysia hanya di awal tahun 1990-an, selepas mengadakan muktamar pertamanya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya. Namun sejarahnya juga agak panjang kerana Jim yang juga disertai sekumpulan intelektual Melayu, kebanyakannya lulusan pengajian tinggi universiti Barat terutama Amerika Syarikat dan Britain. Ketika di tahap awal perjuangan (malah ketika sampai di kemuncak), sesetengah pendukungnya apabila pulang ke tanah air, antara lain menggunakan pendekatan dakwah secara `sirri' (tertutup) itu.

   Perselisihan Abim dan Jim memang mempunyai sejarahnya tersendiri. Ia bukan disengajakan tetapi berlaku kerana persoalan prinsip dan kaedah perjuangan yang berbeza. Tuduhan sesetengah pemimpin yang radikal kononnya tidak syarie menyertai Umno/menghalalkan darah pemimpin Islam yang masuk ke dalam Umno adalah antara pengalaman pahit yang pernah ditempuh oleh Abim. Banyak lagi sejarah pahit itu dan lebih baiklah merujuk kepada rekod sejarah atau bertanya kepada pemimpin tertinggi Abim yang masih ada seperti Presidennya, Dr Muhammad Nur Manuty; Dr Siddiq Fadil (bekas presiden); Dr Razali Nawawi, Annuar Tahir (kini hanya ahli biasa) dan Ahmad Azzam Abdul Rahman (Setiausaha Agung). Pernah seorang teman memberitahu betapa Dr Muhammad Nur ketika masih menuntut di Amerika Syarikat digulingkan daripada teraju kepemimpinan pelajar dalam Malaysian Islamic Study Group (MISG), sebuah pertubuhan pelajar yang berpengaruh sampai sekarang.

   Perisytiharan Abim supaya pendekatan dakwah berasaskan `Manhaj Malaysie' pada pertengahan 1980-an sebenarnya adalah satu jawapan terhadap ketegasan dan komitmen untuk melaksanakan perjuangan mengikut model dan acuan tempatan, bukan sepenuhnya berdasarkan pengalaman di Timur Tengah yang sentiasa berkecamuk dan berkonflik itu. Sedangkan cara itulah yang cuba ditiru IRC, kononnya ia adalah mengikut langkah gerakan Ikhwan, lebih syarie dan menepati uslub dakwah.

   Sebenarnya amat tidak wajar membangkitkan rekod sejarah ini. Tetapi sayangnya catatan sejarah itu memang tidak boleh padam. Bahkan ada lagi catatan pahit itu, atas pertimbangan lain, ia patut disimpan dalam `muzium sejarah' pendukung gerakan Islam yang mahu menegakkan Islam yang syumul itu.

   Sepatutnya segala pengalaman lalu menjadi pengajaran yang amat berguna terhadap pendukung harakah Islamiah untuk lebih cermat dan berhati-hati dalam perjuangan. `Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya'. Memang di peringkat awal perjuangan, Abim mungkin agak keras tetapi apakah inti perjuangannya. Abim mengkritik kepincangan sosial, kemiskinan rakyat, kepura-puraan pemimpin, rasuah, salah guna kuasa dan tidak ketinggalan isu memartabatkan bahasa Melayu. Ia dibuat mengikut realiti sosiopolitik ketika itu yang menuntut perubahan lebih besar terhadap umat Islam dan pengukuhan martabat Islam yang luhur. Selama- lamanya cara pendakwahan Abim terbuka tetapi tidak radikal melulu serta tidak pula berselindung, di sebalik istilah seperti dakwah secara `sirri.'

   Memang Abim menuntut Islamisasi yang menyeluruh tetapi seperti ditegaskan oleh Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim dalam Muktamar Senawi yang ke-10 mengajak seluruh ahlinya memperjuangkan prinsip kesederhanaan, bukan ekstremisme melulu. Prinsip itu diteruskan di bawah kepemimpinan Dr Siddiq Fadil dan kini Dr Muhammad Nur sehingga Abim masih terus `survive' dengan memberi penekanan terhadap `dakwah bil-hal' supaya kesan pendakwahan itu benar-benar dapat dimanfaatkan umat.

   Sesetengah dasar perjuangan Abim nampaknya sudah membuahkan hasil, termasuk dalam pentadbiran siasah negara, manakala isu seperti keadilan sosial masih terus diperjuangkan, bahkan mencakupi arus perdana nasional.

   Memang sudah menjadi sejarah juga, beberapa tokoh Abim terutama di awal 1980-an memasuki wadah politik kepartian, bukan saja Umno tetapi juga pembangkang seperti Pas. Syaratnya jika mahu sertai parti politik, lepaskan jawatan dalam Abim. Akhirnya selepas sekian lama Abim meneroka pendekatan itu, beberapa tokoh Jim (IRC) juga mengikut jejak yang sama. Di kalangan mereka yang masuk Umno itu adalah kalangan profesional, bahkan korporat yang berjaya. Mereka sudah diberi jawatan, misalnya sebagai exco yang dilantik dalam Pemuda Umno, ada pula yang memegang jawatan Ketua Penerangan dan ada juga yang mungkin berura-ura untuk pergi lebih jauh memegang Ketua Pemuda di peringkat bahagian, negeri dan kemudian merebut jawatan lebih penting dalam Umno. Strategi mereka mungkin licik termasuk dengan segala kemampuan kewangan, sokongan kumpulan jemaah fikir (think tank) dan menggunakan kabel yang lebih besar.

   Dalam muktamar Jim di Kuala Lumpur tahun lalu, pemimpin tertingginya menegaskan pilihan penyokongnya untuk menyertai wadah Umno adalah atas kehendak sendiri. Ditinjau dari sudut perjuangan yang lebih makro, pembabitan tokoh yang mempunyai fikrah dan idealisme Islam amat diperlukan bagi memantapkan Umno sebagai sebuah parti Melayu/Islam. Ini kerana saingan Umno, iaitu Pas memang sentiasa menjadikan Islam sebagai senjata utama untuk mengkritik dan `membedal' parti itu. Oleh itu, Umno memerlukan pemimpin yang bukan sekadar mempunyai latar belakang agama, malah perlu mempunyai tokoh yang ada komitmen terhadap perjuangan Islam, memahami uslub dakwah, pendekatan perjuangan hirarki serta tahu selok-belok perkembangan dunia Islam. Jika ditimbang dari aspek ini, sudah tentulah mereka yang berada dalam gerakan seperti Abim dan Jim, kemudian sama-sama memperkukuh Umno amat berguna sekali. Syaratnya kedua-dua puak ini harus ada tasamuh (tolak ansur) dalam pengertian hakiki dan bukan sekadar menyatakan tasamuh tetapi `dendam di hati masih membara'.

   Namun, dalam konteks Umno, wajarkah menerusi penyertaan dalam sebuah parti politik yang besar berlaku keadaan yang tidak diingini, akibat perselisihan masa lalu meneruskan pergeseran melalui medan yang lain pula? Pada pertimbangan terakhir, pendukung gerakan Islam sepatutnya lebih faham bahawa kuasa adalah amanah dan bukan bahan untuk diperdagang atau direbut dengan rakus. Idealisme yang ada pada diri mereka sepatutnya diguna untuk tujuan memperkasa Islam dan menyatukan umat yang hanya kira-kira 60 peratus sahaja di negara ini.

   Apa akan berlaku satu senario berlainan pada masa depan, terutama apabila ada kalangan tokoh berlatar belakang fikrah IRC menduduki hirarki tertinggi dalam Umno, kemudian berdepan dengan pendukung fikrah Islam ala Abim atau lain-lainnya, akan berlaku pula satu persaingan di satu medan baru yang jauh lebih berbahaya? Hanya masa dan ketentuan sejarah yang akan menjawab. Tetapi dunia Islam, gerakan Islam dan pendukung perjuangan Islam sepatutnya sudah muak menyaksikan tragedi demi tragedi akibat kebodohan sendiri, sehingga ummat berantakan dan silih bergantinya perpecahan dan perbalahan. Apabila jatuh atau musnah, percayalah ia akan mengambil masa beberapa generasi lagi untuk pulih bagi meneruskan perjuangan.

   Barangkali pendukung perjuangan Islam perlu menghayati kata-kata Mursyidul Ikhwanul Muslimin, Imam Hassan Al-Banna: "Bekerjasama dalam hal yang disepakati dan saling memaafkan dalam hal yang tidak disepakati."


Halaman Utama


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved