Dikemaskinikan Pada Sabtu, 12 Oktober 2002 8:00 AM

Tok Janggut Menjawab Artikel "Agama, Sekular Patut Diterima"

oleh Tok Janggut melalui Form Penulis Tamu



Menjawab sekularisme

Pendahuluan

Saya terpanggil untuk memberi sedikit komentar terhadap artikel oleh Ezaruddin Abd Rahman melalui Form Penulis Tamu bertajuk “Agama, Sekular Patut Diterima”. Pertama sekali apabila membaca tajuk pada artikel tersebut, saya agak terkejut betapa si penulis agak naïve dengan maksud sekular dan memahaminya dalam konteks yang saya fahami dari penulisannya agak kabur, tidak mendalam dan terkeliru.

Untuk memahami sekular dan sekularisme, kita perlu melihat kepada faktor sejarah gerakan sekularisme, definisi dari segi bahasa dan penggunaan. Kita perlu melihat dari konteks politik dan sosialnya. Sekularisme adalah satu perkataan yang lebih mendalam maksudnya dari pada ‘ ‘dunia’ sepertimana yang saya fahami hasil dari definisi dan kefahaman si penulis.

Mafhum (definisi) Sekular

Sekular didefiniskan oleh al-Mu’jam al-Wasith yang diterbitkan oleh Majma’al-Lughah al-‘Arabiyah sebagai al-Almaniyah dengan menisbahkan kepada ‘Alm (alam atau dunia). Namun ada dikalangan Mutaakhhirin (ulama terkemudian), mereka menterjemahkan sekularisme sebagai ‘Ilmaniyah yang dinasabkan kepada al-‘Ilm (Ilmu) akibat timbulnya gerakan sekular adalah dari pertentangan ilmu agama (gereja) dan sains.

Dari sudut istilah ia disebut terhadap perkara yang tiada hubungan dengan agama. Inilah takrifan dalam pelbagai ensiklopedia dan kamus barat. Ensiklopedia Britaniccia menyebut sekularisme sebagai: “Ia adalah gerakan kemasyarakatan yang bermatlamatkan mengalihkan manusia daripada mementingkan akhirat kepada mementingkan kehidupan dunia sahaja. Ini disebabkan manusia pada zaman pertengahan mempunyai keinginan yang amat kuat untuk menolak dunia sepenuhnya dan bermeditasi sepenuhnya tentang Allah dan hari Akhirat. Untuk menentang kehendak ini, golongan sekular memperkenalkan dirinya melalui membangunkan perasaan kemanusiaan dimana manusia bermula dari zaman pembangunannya (renaissance) mula menzahirkan penggantungan mereka yang tinggi terhadap kemajuan pemikiran manusia dan kemampuan mereka mewujudkan keinginan mereka di dalam kehidpuan dunia ini. Aliran ke arah sekular ini terus meningkat sepanjang keseluruhan sejarah moden. Ia di anggap sebagai gerakan yang menentang agama dan menetang agama kristian”.

Tafsiran yang masyur dalam buku Islam moden pula mentafsirkan Sekular sebagai “memisahkan agama daripada negara”.

Namun pada hakikatnya ia tidak memberi gambaran sempurna bagi ‘ilmaniyah dalam perkara yang bersangkutan dengan individu. Maka, maksud yang lebih tepat bagi sekular ialah:

“Mendirikan kehidupan bukan berdasarkan agama sama ada ia dalam sebuah negara ataupun bagi seorang individu” (Al-‘Ilmaniyah Nasyatuha Ma Tatawwaruha Wa Atharuha Fi al-Hayah al-Islamiyah al-Mu’ashorah (Sekularisme, kemunculan, perkembangan dan kesannya terhadap kehidupan Islam semasa.) oleh Sufur bin Abdul Rahman Al-Hawali)

Sementara di dalam bahasa Perancis, sekular juga di kenali sebagai laicisme yakni bermaksud satu doktrin yang benar-benar bebas dan tidak bercampur dengan agama. Ia melibatkan kepercayaan bahawa peranan atau fungsi yang biasa di laksanakan oleh paderi, seharusnya di pindahmilikkan kepada negara, terutama di dalam bidang perundangan dan pendidikan. (The Dictionary of Political Thought, Roger Scruton 1983).



Sejarah sekularisme

Sejarah awal

Sekular pertama dan sejarah awal pemisahan agama dari pemerintahan (sekularisme) berlaku dalam peristiwa Emperor Rom, Constantine 1 (288-337M) memeluk agama Kristian. Sebelum pemelukan agama oleh Constatine, penganut Kristian berhukum dengan agama mereka dalam semua perkara. Namun memikirkan bahawa dengan kemasukkan Constatine ke dalam agama Kristian, akan dapat menyebarluaskan lagi agama tersebut dan dalam pada yang sama dalam usaha memenangi hati Constatine, paderi-paderi Kristian membuat satu fatwa drastik untuk memisahkan agama dari pemerintahan dengan berdalilkan kata-kata Jesus:

Pertama: Serahkan hak Kaisar kepada Kaisar dan hak Allah kepada Allah Kedua: Kerajaan aku bukanlah di alam ini.

Pada tahun 325M, Constatine mengadakan perhimpunan Nivea yang terkenal dan mengistyiharkan bahawa agama Kristian adalah agama rasmi bagi empayar Rom. Namun, dengan pengistyiharan tersebut juga, kehidupan manusia telah dibahagi kepada dua:

Pertama: Keagamaan, ibadah; yakni hak Tuhan. Kedua: ‘Keduniaan’ dan undang-undang yang merupakan hak Kaisar (pemerintah).

Oleh kerana itu, sekiranya di lihat dari penggunaan sastera bahasa Inggeris, teori politik dan ahli sejarawan, mereka sekurang-kuranya setuju ke atas satu perkara asas yakni: Bahawa Sekularisme adalah produk daripada masyarakat Kristian sama ada ia di definisikan sebagai reaksi atau gerakan penentangan. (Encyclopedia of Religion and Ethnics, James Hasting and T Clarks 1971)

Gerakan sekularisme moden

Perkembagan Sains yang berlaku akibat pertembungan tamadun barat dan timur telah memberi tamparan hebat kepada gereja. Para saintis telah mengemukakan percanggahan dalam ajaran gereja seperti dakwaan bahawa seluruh planet mengelilingi bumi, bentuk geografi bumi ini yang rata dan sebagainya. Akibat daripada percanggahan-percanggahan ini, ramai para saintis yang dibunuh atau dipenjarakan. Rentetan daripada peristiwa-peristiwa ini dan akibat kepincangan masyarakat pada masa tersebut, wujudlah seruan pembangunan (Renaissance) di segenap pelusuk eropah. Teori-teori moden semakin banyak diperolehi hasil kajian terhadap alam semesta dan alam tabie khususnya setelah munculnya teori graviti oleh Isaac Newton (1642-1727M). Dengan penentangan ini, bermulalah serangan terhadap golongan agama dan usaha untuk mengingkari wahyu bermula. Bertiti tolak dari sinilah, revolusi Perancis bertapak dan mengambil alih kuasa Gereja dan Raja.

Kemunculan teori-teori yang membantu kehancuran akidah dan tersebarnya fahaman atheis di eropah seperti teori Charles Darwin (1809-1882M) dengan teori Evolusinya, atau teori Freud yang menggangap perlakuan manusia berpunca daripada peningkatan rangsangan nafsu syahwat semenjak bayi lagi. Begitu juga teori Karl Marx (1818-1883M) dan kawannya Frederick Engels (1820-1895M) yang membawa fahaman Komunisme dan banyak lagi teori-teori yang bertentangan dengan akidah agama dan fitrah hidup manusia. Pemikiran-pemikiran sebegini juga menyumbang kepada perkembangan sekularisme di dalam masyarakat eropah.

Bagaimana Sekularisma Menyerang Dunia Islam: Penjajahan (Isti’mar/Memakmurkan)

Seperti yang diketahui daripada rentetan sejarah, bahawa penjajahan berlaku dengan luasnya terhadap negara Islam oleh eropah di kala kejatuhan tamadun Islam yang bertapak lebih 1000 tahun. Pengaruh penjajahan ini mempunyai pelbagai peringkat. Kadang kala ia membawa kepada penguasaan menyeluruh terhadap negara dan penduduknya, kadang-kadang negara itu ditinggalkan kepada penduduknya tetapi ia dieksploitasi mengikut kehendak negara yang menguasainya, kadang-kadang negara yang menjajah memadai dengan hak penjajahan ketenteraan ataupun sekadar ada campur tangan dalam sejumlah urusan tertentu yang dipastikan mesti mengikut kehendak kepentingannya walaupun ia bertentangan dengan kepentingan penduduk asal.

Penjajahan memperlihatkan pengagungan budaya barat sehingga masyarakat yang dijajah mengambil bulat-bulat budaya barat ini walaupun pada hakikatnya budaya atau pegangan masyarakat tersebut adalah yang benar dan apa yang mereka ambil adalah yang batil.

Di negara-negara Islam taktik ini digunakan untuk menaggalkan syariat Islam dari sistem perundangannya. Penjajahan tidak sekadar menaggalkan baju syariah tersebut tetapi tatkala mereka meninggalkan tanah jajahan mereka atas desakan kemerdekaan, mereka telah pun memacakkan pasak sekularisme ke dalam hati sanubari penduduk negara yang dijajah.

Contoh yang jelas dapat kita saksiakan di negara-negara Islam seperi di India yang telah menghapuskan syariah sebagai perundangan negaranya. Malah tugas pertama Napoleon setelah menawan Mesir ialah memadamkan syariahnya. Indonesia setelah dijajah oleh Portugis dan Belanda mengambil undang-undang mereka sebagai cara tadbir hidup mereka. Kamal Artatuk yang menjadi boneka barat sebagai dalang dalam kejatuhkan khalifah terakhir di muka bumi ini.

Contoh yang paling hampir kepada kita ialah tanah Melayu yang pada suatu ketika berpusat di negeri Melaka yang mengamalkan sistem pemerintahan berlandaskan Syariah Islam. Setelah datang Portugis pada 1511 dan kemudianya selama 500 tahun silih berganti dijajah oleh pelbagai bangsa asing, sistem Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang berlandaskan syariah telah ditinggalkan begitu sahaja. Perlembagaan Malaysia kini diganti dengan Perlembagaan yang dibentuk oleh Lord Reid, seorang wakil pembesar dari England merangkap mubaligh Kristian yang membawa misi Kristianisasi.

1957 menyaksikan laungan kemerdekaan yang dijulang hanyalah satu kemerdekaan pada lafaz zahirnya sahaja. Pada akidahnya, negara Malaysia telah di ‘baptiskan’ dengan sistem sekular barat yang hanya memberikan ruang kepada Islam hanyalah sebagai “agama rasmi negara”. Maka yang tinggal pada negara-negara ini adalah negara yang barat yang mengagungkan sekular dan bukannya sebuah negara Islam yang tuntas. Ini kerana akidah sesebuah negara Islam terletak pada Syariatnya sebagaimana akidah seseorang Muslim terletak pada akidah Islamnya.

Penjajahan bukanlah satu-satunya punca kepada penyebaran fahaman sekular ini. Banyak lagi faktor-faktor lain yang tidak akan saya sebutkan di sini seperi dakyah kristian, golongan orientalis, pemindahan melalui pembelajaran dan sebagainya.



Komentar terhadap artikel

Setelah memberikan sedikit gambaran terhadap sekularisme dari aspek definisi dan sejarah kita kaji apa yang di tulis oleh si penulis:

Komen 1: “Umat Islam tidak mungkin membina semula tamadun kegemilanganya jika mereka tidak menghentikan sikap memisahkan pengetahuan agama dengan sekular.”

Pertama sekali Islam tidak pernah memisahkan ilmu wahyu dan ilmu dunia. Malah sekiranya di fahami Islam yang sebenar, Islamlah yang memperjuangkan idea bahawa ilmu di dunia ini wajib di pelajari oleh umat Islam bagi memajukan umat dan lebih mengenali Allah swt. Kerana itu di dalam agama, hukum menuntut ilmu bagi seorang muslim adalah fardhu ain.

Pengetahuan penulis juga terbatas dengan gagal melihat kehebatan tamadun Islam yang membawa sinar kepada eropah melalui tamadun Sepayol. Nama-nama besar saintis, ahli astronomi, matematik, doktor dan sebagainya di dalam dunia Islam juga di kenali sebagai seorang ulama di dalam bidang agama. Mereka dalam masa yang sama menulis buku tentang astronomi atau matematik juga adalah pakar di dalam bidang feqah, tafsir, lugah dan sebagainya. Tetapi penonjoan ini tidak di tunjukkan oleh barat sebagai salah satu faktor kehebatan tamadun Islam.

Islam tidak membezakan ilmu dunia dan akhirat. Belajar matematik atau jurutera atau sains dnegan betul niatnya adalah satu ibadah seperti mana ibadah apabila seseorang itu solat, puasa zakat atau naik haji. Tetapi, barat dan sekularlah yang memisahkan dua perkara ini dan menjadikan sains, ekonomi, matematik itu tidak seolah-olah tidak ada kena mengena dengan Islam atau berkitan dengan ilmu mengenal Tuhan. Ini dapat di perhatikan dengan jelas di dalam sistem pendidikan kita yang memisahkan pelajaran agama sebagai satu subjek asing sedangkan matapelajaran lainnya tidak dikait langsung untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan para pelajarnya terhadap Allah swt.

Komen 2: Sebagai langkah pertama bagi mengembalikan kecemerlangan tamadun Islam ialah mengikis kepercayaan bahawa dunia ini bukan untuk umat Islam dan menganggap pengetahuan selaian daripada agama adalah sekular. Sebaliknya pengetahuan seperti itu haruslah dicari dan digunakan untuk menguatkan ajaran Islam dan mengembalikan kegemilangan tamadun Islam.

Pertama sekali, Islam tidak pernah melupakan dunia. Banyak ayat di dalam Al-Quran sekiranya mahu di senarikan di sini peranan umat Islam sebagai khalifah dan pemakmur bumi. Malah menjadi kewajipan umat Islam bagi memakmurkan bumi untuk tunduk kepada syariat Ilahi. Tetapi sekular memisahkan hakikat ini dan mengalihkan ketundukan dan sembahan itu kepada illah (tuhan-tuhan) selain Allah swt.

Keduanya, kecemerlangan dan kemunduran Islam adalah kerana sikap umat Islam yang lari dari melihat Islam dalam konteks yang syumul. Islam adalah pemerintahan, adalah ekonomi, adalah undang-undang, adalah sistem hidup dan mati seseorang individu itu. Bila umat Islam melarikan hakikat Islam ini, inilah punca kepada kemundurannya. Tidak ada idealisme di dalam pemikrian umat Islam bila menyebut Syahadah la illahhaillah bermaksud, dunia ini adalah milik Allah dari segala segi, aspek dan sudut.

Komen 3: Akibatnya mereka sama ada menjadi fanatik agama dan menolak semua yang mereka tidak tahu sebagai pengetahuan sekular atau mempelajari sesuatu yang tidak berkaitan dengan agama dengan mendapati mereka tidak dapat mempertahanklan pengetahuan itu kerana tidak berkaitan dengan agama. Apabila fanatik agama itu dicabar mereka tidak dapat memberi satu jawapan yang dapat diterima.

Sila sebutkan ulama terkemuka moden mana yang menolak ilmu di dunia ini? Saya memberikan contoh mudah Dr Yusuf Al-Qaradawi, seorang ulama tersohor zaman ini banyak memberikan fatwa mengenai pemindahan darah, genetik, bayi tabung uji malah kepada hukum naik ke bulan (pada tahun 1960 beberapa bulan sebelum Neil Amstrong menjejakkan kaki ke bulan) dan sebagainya. Bagaimana dia bisa memberikan fatwa sebegini sekiranya dia daif di dalam ilmu-ilmu keduniaan ini?

Komen 4: Mereka juga seringkali merasa bersalah atau menolak agama kerana gagal menghubungkankaitkan pengetahuan yang diperolehi dengan agama. Apabila umat Islam membincangkan mengenai usaha mewujudkan tamadun Islam, ini tidak bermakna mereka harus meniru bulat-bulat dari dunia Islam di kurun 7 hingga kejatuhan kesultanan Turki.

Sebagaimana salahnya umat Islam meniru bulat-bulat apa yang berlaku 1000 tahun dahulu, begitu juga salahnya umat Islam membuang khazanah sejarah Islam yang ada. Pembentukan tamadun yang berkesan belajar dari sejarah. Dan tamadun dunia Islam selama 1000 tahun itulah khazanah terbaik yang pernah ada. Inilah yang di panggil fiqh al waqie’ atau fiqh melihat kepada realiti alam untuk menyesuaikan prinsip Islam dan keadaan setempat dan masa.



Kesimpulan

Islam telah sempurna dari semua aspek. Ia tidak memerlukan sistem manusia untuk maju dan bangkit kembali. Islam telah melihat semua perkara yang telah ataupun gagal di lihat oleh manusia. Ini kerana, bagi yang percaya, sumber Islam adalah rabbani (Bersumber dari Tuhan) Manusia kini membimbing dirinya sendiri dan manusia lain mengarungi kegelapan sedangkan dia sendiri dalam keadaan buta, pekak dan bisu. Mereka tidak sedar lubang-lubang yang ada. Sedangkan Islam itu datang seperti seorang celik yang membawa lampu suluh menghulur tangan memimpin manusia-manusia ini. Tetapi kerana kejahilan dan keegoan mereka serta sikap prejudis mereka terhadap Islam yang di tanamkan oleh sistem kuffar terhadap Islam, mereka menepis tangan yang dihulurkan dengan keangkuhan. Kononnya, pilihan mereka lebih bijak.

Jangan tertipu dengan terma-terma seperti modenisasi, globalisasi, demokrasi atau yang sewaktu dengannya. Ia tidak lain hanyalah jahilliyah dalam nama yang lain. Seumpama musang berbulu ayam. Walau bagaimana hebatnya si musang meniru ayam-ayam yang ada, skin deep, si musang tetap si musang yang merbahaya.

Tok Janggut
munajat11@yahoo.com


Halaman Utama


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved