Dr. Iezzat Khalis,
Berita Harian, 2 Ogos 1992
SUDAH satu tahun Jemaah Islah Malaysia (JIM) ditubuhkan walaupun sebelum
itu ia sudah sekian lama bergerak secara sembunyi-sembunyi di bawah nama
Islamic Representative Council (IRC). Ditubuhkan di Brighton pada musim
panas dalam tahun 1974 di bawah pimpinan Abang Abdullah (sekarang profesor
di Universiti Pertanian Malaysia), IRC mengambil keputusan mengenal pasti
diri mereka dengan gerakan Islam terkenal di Mesir, Ikhwan al-Muslimun.
Mereka membuat beberapa percubaan memohon kepada Ikhwan menjadi sayapnya
di Malaysia tetapi tidak berjaya. Namun demikian, mereka tidak putus asa
dan terus menghubungi Ikhwan sehinggalah hubungan mereka dengan beberapa
tokoh Ikhwan menjadi intim. Kerana itulah mereka mengatakan bahawa mereka
adalah pertubuhan tunggal yang direstui Ikhwan di Malaysia dan bukan Pas
atau Abim.
IRC menceduk keseluruhan kaedah Ikhwan, khususnya berhubung pendekatan
terhadap pemerintah. Di Mesir, Ikhwan tidak mempunyai hubungan yang baik
dengan pemerintah kerana pemerintah mempunyai deep suspicion terhadap
mereka. Walaupun Ikhwan sebenarnya mempunyai pandangan agak terbuka tetapi
pemerintah tetap tidak mempercayainya. Dalam keadaan itu pendekatan dakwah
dan pergerakan politik Ikhwan ialah secara senyap-senyap dan rahsia
(sirri).
IRC, dalam keghairahan mengikuti pendekatan Ikhwan itu juga mengambil
kaedah yang sama di Malaysia untuk suatu tempoh yang lama. Dengan
mengambil pendekatan penuh rahsia itu, pergerakan di kalangan masyarakat
Malaysia tidak berkesan sehingga tidak ada siapa yang mengenalinya kecuali
mereka yang terbabit di dalam gerakan Islam saja. Keputusan diambil bahawa
ahlinya hendaklah menyusup ke dalam organisasi Islam yang sedia ada dengan
harapan organisasi itu dapat dikuasai dan ditukar menjadi wadah kepunyaan
mereka.
Buat permulaan mereka cuba menyusupi Abim ketika pimpinan Abim
menghadapi krisis besar kepemimpinan kerana kemasukan Anwar Ibrahim ke
dalam Umno pada 1982. Mereka mendekati pemimpin Abim di peringkat negeri
dan daerah dengan cara mengkritik Anwar (bahawa kemasukannya ke dalam Umno
tidak syar'i) dan mengatakan pimpinan pusat Abim sudah dibeli Umno dan
sudah tidak layak lagi menerajui gerakan itu. Kritikan seperti itu
dicanangkan ke seluruh negara dan dengan hebat sekali di luar negara
sehingga pengaruh Abim hampir terhapus.
Beberapa pemimpin Abim di peringkat negeri dan daerah dan yang sedang
belajar di luar negara terpengaruh dengan propaganda itu sehingga ada yang
terus meninggalkan Abim dan memasuki IRC atau masih berada di dalam Abim
tetapi wala' (ketaatannya) pada Abim adalah disangsikan. Dengan kekuatan
yang ada itu dan dengan kemasukan tokoh yang baru pulang dari luar negara,
mereka merancang menjatuhkan pimpinan Abim Pusat di dalam muktamar
tahunannya di UKM tetapi nasib mereka tidak baik. Usaha itu tidak berjaya.
Abim dengan cepat membuat pembersihan dan kini bersih daripada angkara
IRC.
Setelah gagal dalam usaha menguasai Abim, mereka berpaling pula kepada
Pas dan hampir berjaya menguasai jawatan Ketua Pemuda Pas apabila orang
kuatnya, Mustafa Kadir yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda, bersiap
mengambil alih pimpinan apabila Mustafa Ali mengundurkan diri. IRC membuat
segala persiapan menguasai orang Pas melalui Pemuda tetapi nasib mereka
juga malang apabila Pas menyedari niat di sebalik kemasukan mereka.
Satu perkara yang menarik mengenai IRC ini ialah orangnya, ke mana saja
pergi dan apa juga position' yang dipegangnya, tidak akan berani membuat
keputusan kecuali setelah berunding dengan pemimpinnya. Sebagai contoh,
Mustafa Kadir mungkin terpilih menjadi Ketua Pemuda Pas tetapi keputusan
yang akan diambil di dalam parti itu mestilah dirundingkan dengan pimpinan
pusat IRC. Dengan perkataan lain wala'nya (ketaatan) bukanlah pada
organisasi yang dimasukinya tetapi pada IRC (sekarang ini JIM). Perkara
ini mula disedari Pas dan mereka bertindak cepat menghapuskannya.
Kegagalannya menguasai Pas dan sebelum itu Abim menyebabkan mereka tidak
ada pilihan kecuali menubuhkan Jemaah Islah Malaysia (JIM). Walaupun sudah
setahun ianya ditubuhkan kita kurang sekali mendengar aktivitinya kecuali
sayap terpentingnya Institut Irshad yang menjalankan kursus profesional,
sekolah al-Amin yang menyediakan kurikulum Islam' dan beberapa kursus dan
bengkel yang dijalankan bagi menjual' nama JIM. Mereka terpaksa bersaing
dengan pertubuhan lain seperti Pas dan Abim. Kedua-dua Pas dan Abim tetap
menonjol sampai hari ini dan ini betul-betul meletakkan JIM dalam keadaan
serba salah. Kebanyakan isu politik dunia Islam nampaknya lebih berjaya
ditangani oleh Pas dan Abim.
Abim, sebagai contoh dengan kerjasama TV3 dan Berita Harian, begitu
ligat sekali membantu pelarian Rohingya. Begitu juga dalam kes Bosnia.
Bosnian Information Centre terletak di pejabat Abim dengan segala
kemudahan telefon dan faks sepanjang 24 jam disediakan Abim dengan
perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Abim.
Dalam kebuntuan untuk bergerak kerana bidang yang ada banyak dikawal dan
diterokai pertubuhan lain, JIM baru-baru ini mengambil satu tindakan yang
betul-betul mencerminkan kepragmatikannya. Kalau sebelum ini mereka
sanggup memasuki Abim dan Pas sedangkan kedua-duanya dicaci dan
diperlecehkan sebagai pertubuhan yang tidak layak diberi gelaran harakah
kerana ketiadaan program tarbiyah yang lengkap dan (dalam konteks Abim
bersekongkol dengan parti taghut, Umno dan menyokong kemasukan Anwar ke
dalam Umno yang tidak syar'i kerana bertentangan dengan nas Quran dan
Sunnah), kini mereka mengambil keputusan di luar dugaan sesiapa (walaupun
orang Abim dan Pas sudah lama mencium baunya) iaitu memasuki Umno.
Dalam perbincangan syura JIM pada Mac baru-baru ini satu kertas-kerja
setebal 15 halaman disediakan oleh Profesor Madya Alias Osman, Timbalan
Presiden JIM (dan seorang pensyarah di Akademi Islam, Universiti Malaya)
dibentangkan dengan segala syara' bagi menjelaskan kenapa ahli JIM digalak
memasuki Umno. Kertas kerja bertajuk Pembentangan Usul Pendekatan Terhadap
Umno dengan tajuk kecil Muqaddimah, Peranan Jamaah, Tajdid, Pendekatan
Tajid di Malaysia (dengan tajuk kecil lagi Strategi Bersepadu, Perjuangan
Ummah dan Masa), Umno (dengan tajuk kecil Lagi Latar Belakang Perjuangan
Umno, Kedudukan Politik Orang Melayu/Islam, Realiti Umno Kini), Umno Dalam
Strategi Jamaah (dengan tajuk kecil Lagi Pendahuluan, Mafsadah dan
Maslahah, Pandangan Syarak) dan akhir sekali pandangan pemimpin harakah
Islam seluruh dunia yang menggalak atau paling tidak, tidak menentang
rancangan mereka hendak memasuki Umno (tokoh berkenaan ialah Abu Amar
Abdul Mun'im, Tariq Suwaidan, Raschid Ghanousi, Nadir al-Nori,
Abdul Rahman Khalifah, Mustafa Mashur dan Abu Badr).
Kertas-kerja yang lengkap dengan segala hujah Quran dan hadis memberi
gambaran bahawa Kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka (sedangkan
selama ini dianggap taghut, zalim, dan tidak Islamik) dan Dr Mahathir
adalah ikhlas berkehendakkan kepada Islam (pandangan yang sudah lama
dipegang oleh Abim). Di bawah tajuk Maslahah, Ustaz Alias memberi enam
sebab kenapa Umno patut disertai pengikut setia JIM, iaitu:
- Ia dapat meletakkan perjuangan di kedudukan yang sah di sisi
undang-undang dan memilih pendekatan yang lebih aman.
- Ia dapat mengurangkan risiko dan menyempitkan ruang campur tangan asing
kerana perjuangan didokong oleh majoriti dan sah menurut perlembagaan.
- Strategi bersepadu meminta JIM menguasai Pas dan Umno untuk dapat
memimpin ummah (perhatikan di sini mereka mahu menguasai Umno dan Pas).
- Ideologi materialisme bukan menjadi ideologi anutan ahli Umno. Begitu
juga faham nasionalisme.
- Sifat dan tabiat Umno menunjukkan ia dicorakkan oleh kepemimpinannya.
- Pembabitan dalam Umno akan menambahkan kekuatan kepada jamaah.
Bagaimanapun yang menariknya ialah mereka tidak lupa bahawa suatu ketika
dahulu mereka (bersama Pas) menjadi juara mengkritik Anwar Ibrahim kerana
mengambil keputusan memasuki Umno. Bersama tokoh Pas mereka menulis dan
menyebarkan kertas 21 halaman dengan segala hujah mengenai dosa besar
Anwar kerana memasuki Umno. Dalam kertas bertajuk Kemasukan Anwar Ke Dalam
Umno Tidak Syar'i", Anwar dan Abim dikritik dan dihina di mana-mana, di
depan pelajar, di depan tokoh gerakan Islam antarabangsa sama ada di dalam
atau luar negara. Mereka sedar dan tidak lupa perbuatan mereka itu. Kerana
kesedaran itulah dalam kertasnya yang dibentangkan di dalam syura itu,
Alias mengatakan "mengenai fatwa kemasukan Anwar ke dalam Umno tidak
syar'i ada dua penjelasan yang boleh dilihat iaitu:
- Keadaan Anwar masuk Umno tidak sama dengan keadaan yang kita bincangkan;
(Anwar) tidak direstui oleh Majlis Syura (Abim) (sedikit pembetulan
penulis; ini tidak tepat); keadaan semasa Umno, strategi (Anwar) yang
tidak jelas dan kedudukan gerakan Islam sendiri di peringkat yang perlu
kepada pendirian yang tegas.
- Menurut fatwa, hukum boleh berubah dengan perubahan keadaan dan zuruf.
"Oleh itu, menjilat ludah sendiri tidak timbul, yang penting ialah kita
pertimbangkan apakah zuruf (keadaan) itu benar-benar sudah berubah. Ia
perlukan kejujuran dan bebas daripada sentimen."
Keputusan terbaru JIM untuk menyertai Umno ini sudah mula diketahui oleh
sebahagian anggotanya. Ada yang boleh menerima dan ada yang menentangnya
sehingga bibit perpecahan mulai timbul. Penentangan yang kuat ialah
daripada pelajar lulusan Timur Tengah, khususnya dari Mesir. Tuduhan
bahawa JIM dikuasai kem UK-trained' juga mula kedengaran. Sekarang sudah
timbul suara yang mengatakan sekolah al-Amin itu bukan kepunyaan JIM
tetapi milik Presiden JIM, Shaari Sungib dan mereka tidak bertanggungjawab
di atas kekecohan yang dialami sekolah itu baru-baru ini kerana salah
pentadbiran (sehingga terpaksa menulis kepada UIA meminta bantuan
kewangan, kepakaran dan idea).
Berdasarkan perkembangan terbaru ini jelas kepada kita bahawa JIM sudah
membuat suatu keputusan besar kerana selama ini mereka terlalu anti-Umno
dan seluruh asas perkelahiannya dengan Abim adalah atas dasar ini. Atas
semangat baru JIM sudah mula menggerakkan orangnya supaya menyertai Umno
secara besar-besaran. Di kalangan pelajarnya di luar negara, ada yang
sudah berjaya mengambil alih kelab Umno (termasuk Kelab Umno Michigan).
Di United Kingdom, Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK) yang dikuasai
mereka sudah mula bercakap mengenai ketuanan Melayu, (suatu ketika dahulu
ini dianggap sebagai assabiyah dan tidak Islamik). Di dalam negeri kita
dimaklumkan sudah ada usaha ke arah itu.
Kita bersetuju dengan keputusan JIM untuk memasuki Umno kerana mahu
berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanahair. Cuma permintaan kita satu,
jangan masuk Umno kerana hendak menguasai orang lain dan meletakkan orang
lain di bawah telunjuknya. Dan kalau masuk Umno masuklah betul-betul
tetapi jangan setiap keputusan yang hendak diambil terpaksa dirujuk kepada
tempat lain (maksudnya pemimpin JIM). Umno memerlukan sokongan generasi
muda Islam yang ikhlas perjuangannya dan komitmennya kepada parti adalah
total. Dalam menghadapi persaingan hebat musuh Islam (dalam dan luar
negara) adalah penting sekali Umno, sebagai parti tulang belakang orang
Melayu-Islam diperkukuhkan. Kita harap penyokong JIM boleh memainkan
peranan ini dengan baik dan berkesan. Kita juga berharap mereka pandai
bermain politik kerana silap-silap mereka terpukul. Ini kerana kalau
tersilap masuk kem mereka akan menerima padahnya. Apakah mereka akan masuk
kem' Anwar Ibrahim, kita kurang pasti kerana kritikan mereka yang terlalu
keras pada Anwar suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun apa yang jelas ialah sekiranya orang Umno bersedia menerima
orang JIM jelas sekali yang rugi dan terpukul ialah Pas. Pas seharusnya
bertanya kenapa generasi muda terpelajar Islam mula tidak berminat
padanya. Kalau Pas selama ini menganggap Abim sudah menyeleweng' kerana
tidak putus-putus memberi sokongan kepada Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim,
kini JIM pula mula memberi sokongan terbuka (dengan segala syara') kepada
Umno.