Sumber : Berita Harian Online
Isnin 27 April 1998
LANGKAH Kementerian Pendidikan tidak memanggil pulang pelajar tajaannya yang sedang berada di luar negara, termasuk di peringkat ijazah pertama yang mendapat biasiswa dan pinjaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mara, Kementerian Pendidikan, Petronas, Telekom dan Tenaga Nasional akan terus dibiaya sepanjang perjalanan kursus mereka adalah pengorbanan kerajaan yang tidak sedikit. Adlan Benan Omar mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak.
BARU-BARU lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju untuk tidak memanggil pulang pelajar tajaannya yang sedang berada di luar negara. Penuntut peringkat ijazah pertama yang mendapat biasiswa dan pinjaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mara, Kementerian Pendidikan, Petronas, Telekom dan Tenaga Nasional akan terus dibiayai sepanjang perjalanan kursus mereka. Walaupun kos meningkat sebanyak RM500 juta, oleh sebab penghantaran balik akan membawa beberapa akibat yang kurang sihat, kerajaan bersedia untuk berkorban demi memastikan 12,000 pelajar tajaannya pulang membawa segulung ijazah.
Sememangnya keputusan ini membawa sedikit kesukaran kepada kerajaan akibat pembiayaan yang begitu tinggi, apatah lagi negara masih mengikat perut akibat kegawatan ekonomi. Namun ia menunjukkan sikap bertimbang rasa dan kebijaksanaan yang berpandangan jauh. Wang isu kedua berbanding masa depan ribuan pelajar.
Menghantar mereka pulang akan menimbulkan beberapa masalah logistik termasuk penentuan tukaran kredit, penyediaan tempat yang sesuai di IPT tempatan, mencukupkan tenaga pengajar dan sebagainya. Masalah psikologi dan kesesuaian juga akan timbul, terutamanya bagi mereka yang sudah terlalu hampir dengan peperiksaan terakhir.
Pendidikan adalah satu aspek penting dalam mengatasi kegawatan ekonomi. Sebanyak 60 peratus daripada rakyat Malaysia berumur di bawah 25 tahun dan mereka memerlukan pendidikan terbaik untuk menjadi asas suatu generasi kerja terlatih. Malaysia tidak boleh bergantung kepada tenaga buruh kasar tanpa memikirkan keperluan masa depan yang mana teknologi, kemampuan sains maklumat dan tulen, kecekapan penyelidikan dan keaslian reka cipta akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara.
Oleh itu, kedaifan sementara dari segi kewangan seharusnya tidak membantutkan bidang pendidikan. Jika kita muncul daripada kegawatan ekonomi dengan kumpulan tenaga muda dan teknokrat yang lebih bersedia, kita akan lebih bersedia pula merebut peluang dalam proses globalisasi.
Untuk membalas jasa kerajaan itu, sewajarnya pelajar berusaha lebih keras untuk menghasilkan keputusan paling cemerlang. Mereka harus membuktikan bahawa wang berjuta ringgit yang dibelanjakan itu memang berbaloi, terutama jika tahun ini pelajar kita mampu mendapatkan keputusan pangkat pertama dan kedua dalam jumlah yang lebih banyak. Prestasi mereka harus ditingkatkan kerana ini menandakan bahawa pengorbanan kerajaan dan rakyat Malaysia tidak disia-siakan. Kita berharap keputusan Julai ini adalah keputusan terbaik yang pernah dicapai.
Pelajar juga harus turut sama merenung kesan keputusan itu, antaranya bahawa pihak penaja terpaksa menokok belanja biaya yang bakal diagihkan. Ini bukan masanya untuk membuat tuntutan biasiswa yang tidak munasabah atau untuk memohon perlanjutan tempoh belajar. Berbanding generasi sebelumnya, tanggungjawab yang diberikan kepada pelajar sekarang adalah lebih berat kerana mereka kayu ukur kemampuan kita semua menggembleng tenaga dalam proses membina semula kejayaan yang pernah kita kecapi tidak lama dahulu. Pelajar juga harus sedar bahawa mereka mesti memainkan tugas penting dalam usaha mengatasi kedudukan ekonomi. Sewajarnya pelajar di luar negara seramai 60,000 orang menginsafi tanggungjawab berat yang wajib dipikul.
Pengumuman Menteri Pendidikan itu menggariskan betapa pentingnya sektor pendidikan kepada negara kita yang hebat memerangi masalah ekonomi. Menurut statistik The Economist, Malaysia adalah negara yang ke-11 tertinggi di dunia bila dibandingkan nisbah perbelanjaan pendidikan dengan keseluruhan belanja kerajaan. Jika dibandingkan dengan kebanyakan negara maju sekalipun, terutamanya di Eropah, Malaysia masih tinggi dari segi perbelanjaan pendidikan. Nisbah ini mungkin lebih besar jika dikira pula pertambahan kos yang diakibatkan oleh penurunan nilai ringgit dalam beberapa bulan terakhir ini.
Kita juga wajar menggarap beberapa realiti yang timbul akibat pengumuman terbaru kerajaan itu. Perkara yang paling penting ialah berakhirnya satu era dalam sejarah pendidikan negara, iaitu pergantungan kepada IPT asing dalam melahirkan ramai... Sejak dari 1970-an lagi, kerajaan banyak menghantar pelajar, terutamanya Bumiputera, ke United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan sebagainya untuk mendapatkan kelulusan dalam subjek yang tidak diajar di universiti tempatan. Dengan bermulanya 'Dasar Pandang ke Timur', Jepun dan Korea Selatan ditambah menjadi antara destinasi utama pelajar Malaysia dalam bidang kejuruteraan, sains tulen dan perniagaan. Sejak lima tahun kebelakangan, Perancis dan Jerman juga menjadi negara sasaran pelajar tajaan kerajaan.
Bagaimanapun, sejak Malaysia mula menggandakan bilangan IPT tempatan (baik yang dibuka oleh swasta mahupun universiti kerajaan), tempat yang tersedia semakin bertambah. Pelajar tahun 70-an dan 80-an yang pulang ke tanah air juga sudah mampu mengajar subjek yang dahulunya dianggap agak esoterik di sini. Pada waktu yang terdekat ini, pertambahan pelajar lulusan SPM (yang semakin baik mutu keputusannya) menyebabkan tempat yang bertambah itu pun menjadi terlalu sempit. Tetapi tidak ada sebabnya mengapa pada suatu hari nanti Malaysia tidak mampu untuk membina universiti sebanyak yang terdapat di United Kingdom, yang menubuhkan lebih 40 universiti pada 1992 saja dengan menaikkan taraf politekniknya. United Kingdom kini mempunyai 100 buah universiti dengan jumlah penduduk lebih kurang 55 juta, iaitu dengan nisbah satu universiti setiap 500,000 rakyatnya. Malah Australia yang berpenduduk seramai Malaysia itupun mempunyai universiti lebih sekali ganda yang terdapat di Malaysia sedangkan golongan mudanya lebih kecil.
Pokoknya kita mesti mahu membuat anjakan paradigma terhadap sikap terlalu melekehkan pengajian di IPT tempatan. Terdapat ramai pelajar kita di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia yang menjalani pengajian di universiti yang tarafnya lebih rendah daripada IPT tempatan. Sebahagian besar universiti United Kingdom yang mengiklankan khidmat mereka dalam ruangan pendidikan di Malaysia merupakan universiti baru yang tidak berpengalaman berbanding Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Hanya 'mimpi main salji' saja yang menjadi tarikan untuk pelajar kita menduyuni IPT luar negara yang tidak dikenali itu.
Kerajaan seharusnya lebih berwaspada mengenai sebarang kenyataan yang dibuat oleh IPT luar negara yang berbondong berkhemah di sini setiap kali musim keputusan peperiksaan tiba. Kita tidak mahu pelajar Malaysia terikut-ikut untuk pergi ke luar negara dengan janji-janji manis yang diberikan. Jika diteliti senarai 'pakej gawat' yang ditawarkan oleh institusi luar negara seperti yang diumumkan oleh British Council baru-baru ini, ternyata ada antaranya merupakan tawaran oleh institusi yang hidup matinya bergantung kepada sumbangan wang asing dan tidak terkenal di United Kingdom itu sendiri. Perkembangan ini tidak sihat kerana kita tidak mahu menjadi 'angsa emas' IPT luar negara, sebaliknya kita mahu bekerjasama yang tulen dan memanfaatkan kedua-dua pihak.
Banyak IPT luar negara yang semakin bergantung kepada kemasukan pelajar kita. Di United Kingdom, keputusan kerajaan Parti Buruh pimpinan Tony Blair untuk mengurangkan sumbangan kerajaan kepada belanja menyelenggarakan IPT menyebabkan mereka membuka pintu seluas-luasnya kepada penuntut dari Asia, Afrika dan Timur Tengah. Kerajaan British bercadang untuk mengenakan yuran RM6,500 seorang bagi pelajar tempatan untuk menjimatkan perbelanjaannya. Sebenarnya pelajar 'Dunia Ketiga' inilah yang memberi subsidi untuk menangani peningkatan kos yang dihadapi kerana yuran bagi pelajar dari luar Kesatuan Eropah kadangkala mencecah 4 hingga 5 kali ganda yuran pelajar tempatan.
Ada IPT di Britain yang mempunyai lebih 50% pelajar negara asing berbanding dengan pelajar Inggeris sendiri. Perkara yang sama berlaku di Amerika Syarikat hingga wujud 'paper mills' (kilang ijazah) yang mengeluarkan sijil asalkan yuran dibayar. Perkara ini amat membimbangkan kerana kita tidak mahu menjadi lembu susu atau 'milking cow' kepada pengusaha pendidikan di negara asing. Apakah selepas wang kita diambil, kebajikan anak kita dan kejituan kelulusan mereka diabaikan?
Kita juga kesal jika ada antara pengusaha tempatan yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan menjalinkan hubungan dengan IPT luar negara yang kredibilitinya diragui. Pendidikan bukanlah suatu bidang yang boleh diperniagakan tanpa mengambil kira kepentingan negara. Seharusnya wujud suatu etika yang kukuh yang membolehkan para pelajar menaruh keyakinan yang kuat terhadap kursus yang ditawarkan. Sejak semakin ramai pelajar melanjutkan pelajaran di IPT swasta tempatan, jumlah rungutan mengenai ketiadaan guru yang sesuai, peralatan yang kuno, buku teks yang tidak cukup dan kemudahan penginapan yang daif selalu kita dengar, tetapi jarang diberi perhatian kerana pelajar sebenarnya tidak mempunyai pilihan lain. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa juga belajar di kolej ini walaupun ianya serba kekurangan. Alternatifnya - masuk IPT tempatan yang mana tempatnya memang terhad atau pergi ke luar negara yang kosnya terlalu tinggi - tidak memungkinkan sebarang pilihan sebenar dibuat.
Masalah penempatan pelajar sebenarnya baru saja bermula. Pengumuman Menteri Pendidikan baru-baru ini adalah mengenai pengekalan pelajar di luar negara, tetapi Malaysia juga akan menghentikan penghantaran pelajar ke luar negara. Sejak lima tahun kebelakangan, kerajaan dan agensinya menghantar purata 2,000 orang pelajar setahun ke luar negara: ini tidak termasuk pelajar persendirian. Kedua-dua kumpulan ini nampaknya akan diserap ke IPT tempatan. Mereka yang mengikuti kursus A-Level dan persediaan matrikulasi di kolej tempatan akan memasuki universiti t, selain mereka yang lulus SPM dan STPM tahun lalu (keputusannya yang begitu memberangsangkan baru saja diumumkan). Pertambahan tempat di IPT tempatan harus mencukupi bagi menampung jumlah yang berganda ini, selain proses merubah kolej A-Level kepada pusat matrikulasi atau menerima A-Level sebagai kelulusan kelayakan ke IPT tempatan.
Jika jumlah pelajar yang bertambah masuk ke IPT tempatan dikira selari dengan jumlah yang berada di seberang laut sekarang, maknanya dalam masa empat hingga lima tahun dari sekarang, jumlah pelajar di IPT tempatan akan meningkat mendadak sebanyak 60,000 orang. Ini adalah sekali ganda jumlah pelajar ijazah pertama yang sedang berada di IPT tempatan. Jika jumlah ini dipotong 10% (iaitu jumlah yang dianggarkan oleh Kementerian Pendidikan akan terus dihantar ke luar negara atas beberapa sebab) jumlahnya masih ramai dan memerlukan tindakan segera.
Penubuhan kampus cawangan atau 'branch campuses' adalah satu cara yang sedang diuji pada masa ini, tetapi harus diterokai dengan berhati-hati. Apatah lagi bila kita fikirkan bahawa di negara-negara maju, tidak ada kampus cawangan yang ditubuhkan, atau jumlahnya terlalu kerdil dan tidak relevan. Sebarang penubuhan kampus cawangan harus melalui kriteria yang ketat dan IPT yang dibenarkan masuk itupun mestilah yang mempunyai status dan rekod pencapaian yang boleh dibanggakan. Kadangkala apabila membaca akhbar kita terkejut melihat cadangan universiti luar negara yang ingin membuka cawangan di sini, kerana ada antaranya yang memang tidak diperakui statusnya walaupun di negara asalnya sendiri.
Namun begitu, Menteri Pendidikan nampaknya sedang berusaha keras menyisihkan intan daripada kaca. Menurut kenyataan beliau, para pelajar akan terus dihantar ke 'universiti terkenal' di luar negara. Untuk para pelajar A-Level yang berjumlah hampir 1,000 orang, jika mereka dapat menempah tempat di IPT yang terkemuka, mereka akan dibenarkan terus melanjutkan pelajaran hingga tamat ijazah pertama. Pengumuman ini penting kerana ianya menandakan bahawa Kementerian Pendidikan mengambil berat kualiti pendidikan yang diperolehi melalui perbelanjaan wang rakyat. Antara universiti terkemuka yang menjadi sasaran ialah Oxford dan Cambridge (di England) dan universiti Ivy League di Amerika Syarikat yang berjumlah lapan buah semuanya.
Memang diketahui ramai, kemasukan ke universiti ini sukar hinggakan bagi setiap tempat yang kosong, kadangkala seramai 10 pemohon akan cuba mendapatkannya. Di Cambridge, daripada jumlah 3,000 pelajar yang memasuki institusi itu setiap tahun, 97% mendapat markah 3A iaitu pencapaian maksimum dalam peperiksaan A-Level.
Pelajar kita di luar negara memang mampu untuk mencapai tahap ini. Di Britain, 40% daripada pelajar A-Level mendapat markah 3A ke atas, iaitu satu pencapaian yang sungguh memberangsangkan. Kita juga berjaya mendapatkan tempat yang dikuotakan oleh Kerajaan Britain seperti pengajian perubatan dan pergigian. Tahun demi tahun, pencapaian pelajar kita setanding dengan pelajar di negara asing itu sendiri.
Niat memasukkan pelajar Malaysia ke universiti terkemuka ini merupakan satu hasrat yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Sejak pertengahan tahun 1980-an pelajar kita yang paling cemerlang dimuatkan ke dalam program British Top Universiti (BTU) atau American Top University (ATU) untuk menggondol tempat di IPT terkemuka dan sekaligus menjadi wakil Malaysia dalam pentas akademik dunia. Cita-cita Perdana Menteri ini jika dipandang dari segi jangka panjang memang merupakan satu idea bijak yang menguntungkan negara. Pelajar kita di universiti terkemuka dapat bergaul dengan para pensyarah yang terkenal. Contohnya di Cambridge para pelajar berpeluang untuk mengikuti kuliah yang dikendalikan oleh pemikir terkenal seperti Stephen Hawking, yang dahulunya pernah dibawa ke Malaysia untuk memberi ceramah perdana. Selain itu para pelajar dapat menggunakan kemudahan yang dibiayai oleh syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Microsoft dan ICI, manakala di Oxford para dermawan terkemuka seperti Wafic Said memberi biaya yang besar untuk fakulti tertentu. Jumlah derma yang diperolehi oleh Universiti Harvard di Amerika Syarikat yang diagihkan kepada penyediaan peralatan dan pembiayaan biasiswa mencecah jumlah hampir RM45 billion.
Namun yang paling penting ialah tandingan rakan sebaya. Rakyat Malaysia daripada generasi ketiga selepas merdeka seharusnya tidak lagi bersaing sesama sendiri tetapi dengan belia dan pelajar dari negara-negara maju. Kita tidak mahu golongan belia yang gah di negara sendiri saja - dibuai mimpi dan asyik dengan pujian pengikut setempat - sedangkan bila berdiri di pentas dunia kita tidak mampu untuk menandingi orang luar. Malaysia sudahpun memilih untuk memasuki pasaran dunia maka negara ini perlu menghasilkan teknokrat kelas antarabangsa, jika tidak kita akan ketinggalan.
Universiti terkemuka di luar negara pada waktu yang terdekat ini masih menyediakan peluang terbaik untuk pergaulan yang luas. Di Universiti Oxford, contohnya, para pelajar terdiri daripada 120 buah negara. Pendedahan sebegini amat perlu untuk keperluan masa depan negara.
Kita tidak perlu bimbang tentang kos menghantar para pelajar ke universiti terkemuka baik di Britain mahupun di Amerika Syarikat kerana jumlah pelajar kita yang dapat masuk ke sana adalah agak kecil. Malah, sejak akhir-akhir ini jumlah itupun agak berkurangan hingga menimbulkan sedikit kebimbangan di kalangan pentadbir kita di Jabatan Penuntut Malaysia di luar negara. Seharusnya kita lebih menggalakkan kecemerlangan dan sanggup berbelanja untuk mendapatkan yang terbaik.
Kementerian Pendidikan harus segera menerbitkan takrif 'universiti terkenal' yang diakui kerajaan. Satu contoh yang baik ialah "senarai putih universiti teratas" yang dikumpulkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura untuk panduan pelajarnya. Kita juga harus membuat penilaian sendiri mengenai universiti mana yang mampu mengisi keperluan kita. Takrif ini selalu berbeza-beza. Menurut satu penyelidikan oleh akhbar Perancis "Liberation", pusat-pusat kecemerlangan pendidikan di dunia bagi tahun 1998 adalah Harvard, Yale, Princeton, Chicago dan Stanford (Amerika Syarikat), Cambridge dan Oxford (Britain), McGill (Kanada), Sorbonne (Perancis) dan Heidelberg (Jerman). Kajian ini dibuat berasaskan tahap mutu pengajaran dua puluh subjek terpilih, sama ada dari bidang sains mahupun sastera.
Tetapi jika dilihat dari bidang yang khusus, contohnya kejuruteraan, ada universiti teratas yang corot sedikit. Di Britain, menurut sumber penyelidikan, walaupun Cambridge teratas dalam bidang ini, Oxford terdiri di belakang Imperial College dan University College (kedua-duanya komponen University London). Statistik yang benar-benar komprehensif harus dikumpulkan untuk mengurangkan kekeliruan di kalangan penuntut.
Suatu hari nanti universiti di Malaysia juga akan mencapai tahap dunia atau "world class". Usaha yang dilakukan untuk mendapatkan biaya swasta untuk aktiviti universiti nampaknya menjurus ke aras penjalinan tautan erat antara dunia akademik dan perniagaan. Ini tentunya akan memungkin universiti kita menyediakan peralatan yang canggih dan tenaga pengajar yang mendapat imbuhan yang sepadan. Usaha ini bukannya mudah dan masih banyak ranjau yang perlu dielak. Begitupun, kita harus lebih bersedia. Era berharap kepada orang luar untuk mendidik anak watan nampaknya sudah sampai ke penghujung jalan.