Pengakuan Assari, Al Arqam

Berita Harian, 21 Oktober 1994

SOALAN: Antara perkara yang dipersoalkan hingga umat menjadi begitu gawat dan wajib bagi kita menenangkannya semula ialah ajaran yang saudara hayati sendiri iaitu Sheikh Muhammad as-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, dikatakan tidak mati dan akan lahir sebagai Imam Mahadi. Apakah dakwaan ini benar dan adakah pihak saudara masih berpegang dengannya dan tidakkah ini bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ?

Asaari: Sebelum saya menjawab, saya mewakili diri saya dan kawan-kawan memohon maaf kepada tuan, terutama kepada pihak keselamatan kerana mungkin sikap saya dan kawan-kawan sebelum ini menyinggung dan menyusahkan pihak tuan. Dahulu saya dan anggota jamaah al-Arqam memang berpegang dan meyakini bahawa Sheikh as-Suhaimi itu masih hidup dan bakal menjadi Imam Mahadi, tetapi Alhamdulillah Allah telah takdirkan saya ditahan oleh pihak keselamatan. Sebelum ini saya tidak dapat gambarkan bagaimana sebenarnya bila saya ditahan sebab bagi mereka yang belum pernah ditahan, bila disebut ditahan mungkin kena marah, kena kurung, kena herdik, dihina dan sebagainya. Nampaknya, bukan sahaja pandangan itu meleset, rupanya penahanan saya besar rahmatnya. Saya sebenarnya belajar, saya masuk universiti, saya diajak membuat kajian ilmiah, diajak berdialog dan bermuzakarah serta membincangkan satu masalah itu bukan sepintas lalu, malah diulang beberapa kali ibarat satu pokok itu hingga ke akar umbinya dapat dibongkar. Jadi, selepas ditahan dan diajak membuat kajian ilmiah barulah saya sedar bahawa pegangan saya dan kawan-kawan dahulu yang percaya pada Sheikh as-Suhaimi itu salah.

Apabila saya berkata ajaran ini salah, tidak ada siapa yang menekan, mengugut dan menakut-nakutkan, tetapi dari kesedaran di lubuk hati saya sendiri, seperti mana yang saya katakan saya diajak berkecimpung di bidang ilmu, diajak mengkaji soal ilmiah sedalam-dalamnya. Di sinilah baru saya sedar yang sebenar saya sejak dari awal lagi saya diajar dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tetapi, maklumlah manusia ini mudah terpengaruh dengan alam sekitarnya, dengan hasil bacaannya, apa yang didengar dan dilihat, lebih-lebih lagi di waktu itu saya memimpin jemaah al-Arqam ini selama 26 tahun, walaupun ilmu yang saya pelajari merujuk kepada empat prinsip, al-Quran, hadis, ijmak dan kias, tetapi tidak pernah dimuzakarahkan. Ia sepatutnya dimuzakarahkan, dibincang, dinilai dan sebagainya, sebab itulah kita lupa dengan pegangan kita dan terpengaruh dengan benda-benda yang datang daripada luar.

Tetapi apabila saya ditahan, diajak bermuzkaarah, berbincang secara ilmiah, ia menyedarkan saya balik mengenai apa yang saya belajar dahulu, apa yang saya dan kawan-kawan saya pegang dahulu berlawanan dengan al- Quran, hadis, ijmak dan kias. Al-Quran tidak menentukan siapa Imam Mahadi, hadis juga tidak menentukan siapa Imam Mahadi, begitu juga ijmak ulama hingga hari ini kita tidak lihat, tidak berjumpa lagi mana-mana kurun dan zaman yang menentukan polan-polan itu Imam Mahadi. Kalau nak masukkan kias, barangkali tak boleh nak masukkan kias.

Jadi, apabila saya belajar di sini, saya hubungkan balik dengan ilmu saya yang dahulu memang berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Rupanya, benda sampingan dan benda luaran saya jadikan prinsip dan dasar perjuangan saya. Jadi jelaslah itu salah. Dahulu salahlah, tetapi sekarang tidak menjadi pegangan saya lagi dan saya menyesal dan saya minta berbanyak ampun kepada Allah SWT dan juga bertaubat tidak akan mengulang lagi berpegangan begitu.

Soalan: Apa yang didakwa dengan Sheikh as-Suhaimi menerima Aurad Muhammadiah daripada Nabi Muhammad SAW di dalam Kaabah secara jaga atau yakazakh itu tidak berasas sama sekali. Apakah Saudara Asaari bersetuju dengan apa yang saya katakan tadi?

Asaari: Bila kita merujuk kepada kajian ilmiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan kias sebagai pegangan, tidak ada tambahan seperti mimpi dan sebagainya. Apa yang ada cuma empat saja. Jadi, ertinya ia tidak boleh dipegang lagi dan kalau dipegang, ia berlawanan dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT. Wahyu sudah selesai sebab itulah Rasulullulah SAW diwafatkan. Jadi, kalau itu kita terima ini, maka satu kesalahan lagi. Memang ini tidak betullah.

Soalan: Sekarang saudara sudah tidak percaya bahawa Aurad Muhamadiah itu diterima menerusi Yakazah. Tetapi, ketika saudara berpegang dengan aurad dahulu, tentu ada sumbernya. Bolehkah saudara jelaskan dari mana sumbernya, yang menyebabkan kumpulan al-Arqam dahulu mempercayai bahawaSheikh as-Suhaimi menerima Aurad Muhammadiah itu dalam Kaabah. Mungkin ada kitab atau sumbernya?

Asaari: Saya menerima aurad sewaktu kecil lagi iaitu ketika masih bersekolah dalam darjah 6 pada 1952 di Segambut. Apabila cuti, saya balik ke kampung di Pilin, sebab saya dipelihara oleh pakcik (Wak dalam istilah Jawa). Dialah yang memelihara saya. Bila saya menyambung pelajaran di Segambut, barulah terpisah.

Pada 1952, bila saya balik beliau sudah tua, mungkin kerana takut wirid ini tidak dapat sampai kepada saya, dia bagi saya dan saya tulis dengan pencil. Pada waktu itu tidak ada tambahan Muhammadulil Mahadi itu. Bahkan saya pun tidak tahu siapa itu Sheikh as-Suhaimi. Dia tak cerita langsung. Tetapi, apabila saya berpeluang belajar sekolah Arab di Madrasah Hishammudin di Klang, pada 1954 hingga 1958, saya tinggal dengan bapa saya. Bapa saya kerja kastam. Saya berulang dari Pelabuhan Klang ke Klang.

Kemudian oleh kerana ketika itu Kerajaan Selangor kekurangan guru agama, jadi dia pelawalah mana-mana pelajar sekolah Arab yang ada sijil Bahasa Arab Sanawi, dipelawa memasuki peperiksaan jadi guru. Saya menerima galakan guru saya dan memasuki peperiksaan itu serta lulus. Jadi saya menjadi guru di sebelah petang dan belajar di sebelah pagi. Kali pertama saya mengajar, saya dihantar ke Kampung Sungai Udang, Teluk Pulai, Klang. Pada 1956, saya berpeluang bergaul dengan cucu-cucu Sheikh as-Suhaimi di antaranya Abdullah bin Muhammad Hairillah, yang kini sudah meninggal dunia. Barulah saya tahu beliau memberi wirid kepada orang baru, saya pun menumpanglah membaharui wirid. Di situlah saya mendengar ada tambahan Muhammadulil Mahadi. Maka saya pun tanyalah, beliau berkata Muhammadulil Mahadi itu adalah datuknya sendiri. Datuknya adalah bakal menjadi Imam Mahadi di akhir zaman. Wak saya yang mula-mula belajar wirid itu tidak ada menyebut. Jadi pada saya mudah mengungkainya sebab ada tempat rujuk dan mudah bagi saya.

Soalan: Sehubungan itu, semasa saudara memimpin kumpulan ini maka antara cara yang saudara gunakan ialah mendakwa berlakunya Yakazakh saudara sendiri. Apakah benar hingga timbul gawat bahawa berlaku dialog antara saudara dengan Nabi Muhammad SAW. Apakah benar perkara ini berlaku?

Asaari: Itu adalah antara perkara yang terjadi yang jika kita nilai memang tidak boleh dijadikan pegangan. Kalau benarpun, belum tentu benar atau sebaliknya. Memang benar, saya dulu mengaku berdialog, tetapi sekarang saya sudah nafikan ... benda itu mengarut saja. Tidak benar sama sekali.

Soalan: Satu perkara yang ingin diperjelaskan kerana ia menimbulkan kesangsian ummah ialah tafsiran saudara mengenai beberapa ayat al-Quran yang dipertikaikan. Diantaranya ialah ayat 3 Surah an-Nissa dan huraian saudara membawa makna perkahwinan dan poligami itu harus dimulakan dengan dua terlebih dulu, kemudian diikuti dengan tiga dan empat. Sekiranya gagal, barulah balik kepada satu. Begitulah yang diperkatakan oleh saudara sendiri.

Asaari: Waktu saya mula-mula belajar tafsir dahulu bukan begitu pegangan saya. Buktinya, saya mula-mula hanya berkahwin satu. Tetapi, selepas itu kita mentafsirkan ayat al-Quran tanpa merujuk dengan betul dan kepada ulama. Kita hanya tengok terjemah dan hurai sendiri. Maka biasalah begitu, mudah saja berlaku kesilapan. Kemudian baru saya berasa silap kerana kurang berhati-hati.

Soalan: Berbalik kepada soal Yakazah, walaupun kita tidak percaya tetapi perlu juga diterangkan kepada masyarakat bahawa Yakazah terakhir ialah dialog saudara dengan Rasullah SAW dengan pelbagai persoalan. Bolehkah secara jujur diterangkan bagaimana perkara itu berlaku?

Asaari: Dalam soal ini ada dua perkara saya nak ulas. Yang pertama kalau pun benar ia tidak boleh menjadi pegangan dan tidak termasuk hukum. Susah kita nak akui kebenarannya sebab syaitan boleh mengelirukan kita. Sebaik Tuhan hanya dengar suara mengaku Rasullulah ataupun mengakui ustaz. Suara yang kita dengar itu tak mungkin boleh dipastikan.

Soalan: Menyentuh akidah, ada dilaporkan bahawa saudara ada menerima kuasa Allah atau memiliki kuasa Allah. Jadi perkara ini juga menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Asaari: Yang sebenarnya, saya pernah buat kuliah macam ini dalam kenderaan. Dalam kuliah seperti itu, saya pernah menerangkan makhluk sebagaimana hebat sekalipun masih tidak dapat menandingi Allah. Tidak ada makhluk yang mempunyai sifat Kun Fa Ya Kun'. Biasanya, pemimpin yang mempunyai hak itu seperti rasul dan nabi, di bawahnya wali, kalau Allah memberi banyak sifat kepada mereka itu, ertinya tanda kebesaran Allah banyak wujud dalam pemimpin itu.

Tetapi, benda seperti ini bagi orang yang belum faham hal ini mungkin terkeliru. Jadi ada pengikut saya terkeliru, di antaranya isteri saya. Dia menulis satu risalah, mungkin bahasanya itu gagal menceritakan perkara sebenarnya. Walaupun begitu, saya bertanggungjawab mengakui kesalahan kerana saya sepatutnya membuat pembetulan. Isteri saya tidak bersalah, saya yang banyak bersalah.

Asalnya saya tidak kata begitu. Saya tetap dengan pendirian bahawa Allah saja yang mempunyai sifat Kun Fa Ya Kun.'

Soalan: Satu perkara lagi yang menimbulkan kelucuan masyarakat ialah dakwaan saudara berketurunan pemuda Bani Tamim. Ini juga satu perkara yang masyarakat ingin tahu. Bagaimanakan salasiah saudara boleh sampai kepada Bani Tamim seperti itu?

Asaari: Sebenarnya saya terpengaruh dengan sebuah hadis yang bermaksud `Kostantinopel akan jatuh di tangan orang Islam, di tangan seorang pemimpin yang baik, tentera yang baik dan pengikut yang baik.'

Dalam hadis itu, tidak disebutkan siapa nama pemimpin itu, dia datang dari negara mana dan tidak disebutkan bangsa apa dan tidak disebutkan kurun berapa akan jatuh Kostantinopel (Istanbul sekarang). Setiap generasi mencuba, daripada zaman sahabat Rasululah SAW. Setiap kalifah dan raja Islam yang datang menghantar tentera, moga-moga tentera itulah yang disebutkan seperti dalam hadis. Rupanya, 600 tahun selepas Rasululah bersabda, barulah ia berlaku iaitu di tangan Muhamad al-Fateh. Beliau yang menawan Konstatinopel.

Oleh kerana saya terpengaruh dengan hadis ini, maka ada hadis lain pula memberi tahu saya - `Diakhir zaman nanti, Islam bermula dari Timur. Sebelum Imam Mahadi lahir, dia dibangunkan oleh seorang pemimpin dari kalangan Bani Tamim. Daripada kejayaan beliau itulah, kejayaan dakwah Islamiahnya akan diserahkan kepada Imam Mahadi'. - Dalam hadis itu juga tidak disebutkan nama dan dari mana dia lahir. Jadi saya berfikir, setiap orang yang ada sekarang ini boleh mengganggap beliau lah menjadi pemuda Bani Tamim. Muktamadnya, siapa ketua khalifah yang menegakkan dakwah Islamiah, saya yakin beliaulah pemuda Bani Tamim. Saya juga berharap akan jadi pemuda Bani Tamim untuk menaikkan semangat berjuang, walaupun keturunan saya jauh.

Soalan: Satu lagi yang amat penting ialah sama ada saudara sedar ajaran al-Arqam menggugat institusi kekeluargaan. Hal ini saya ketengahkan kerana ingin tahu sama ada saudara sedar bahawa ada yang mengheret keluarga di negara ini yang rungsing dengan amalam pertubuhan saudara, misalnya perkahwinan.

Asaari: Saya berjuang sejak 26 tahun. Tidak semua ahli berlaku begitu, hanya sebahagian. Kalau dia buat pun bukan arahan jemaah, tetapi lebih bersifat individu. Cuma salahnya, saya sebagai ketua tidak mengambil berat dan menasihatkan mereka agar jangan melanggar undang-undang seperti bayaran zakat dan perkahwinan. Saya sudah arahkan supaya mereka patuh, tetapi tiada kerjasama daripada ahli. Ini termasuklah tindakan nak saman Perdana Menteri, nak saman Ketua Polis Negara, jadi ini nampak sangat kita nak cari musuh. Rakyat ini anak dan kerajaan itu umpama ayah. Bagaimana lemah sekali pun ayah, demi keselamatan dan kedaulatan negara setiap anak perlulah mematuhi ayah. Salah saya kerana tidak beri nasihat.

Soalan: Saudara Soid Sulaiman, apalah saudara sedar sebagai orang yang Arqam, banyak menghentam, mencabar pihak berkuasa, Jabatan Agama Islam negeri, terutamanya ketika Asaari berada di luar negara.

Soid: Saya bersyukur kerana berpeluang turut hadir dalam majlis ini dan diberi peluang bercakap. Selepas saya juga ditahan oleh pihak berkuasa, saya diberi penjelasan terperinci dalam segala aspek. Saya diberi peluang berbincang secara terbuka dan ini menimbulkan kesedaran dan keinsafan saya, maka saya meninggalkan pegangan Aurad Muhammadiah dan bertaubat. Tetapi, rasanya tidak sempurna dan tidak puas kerana taubat itu tidak diiringi dengan penjelasan atau menebus sekali segala kesilapan yang lampau. Salah satu daripadanya yang saya akui terbesar ialah risalah yang saya tulis apabila timbulnya isu al-Arqam pada Jun lalu. Sebenarnya, siri risalah yang dikeluarkan oleh Arqam ada beratus siri. Walaupun ada 15 tajuk, tetapi risalah yang saya tulis adalah paling utama. Risalah yang saya tulis tidak mempunyai apa-apa sandaran dan tidak langsung berdasarkan fakta. Risalah itu saya tulis berdasarkan dorongan kerana hendak membela keyakinan pada waktu itu kepada Aurad Muhammadiah, kepada Ustaz Asaari sebagai pemimpin jemaah dan kepada jemaah al-Arqam sendiri. Saya akui ia hanya lebih sebagai emosi kemarahan dan mungkin juga oleh pengaruh nafsu dan syaitan. Sebab itulah timbul unsur fitnah, mencela, mencerca, mengelirukan dan menimbulkan salah faham kepada pembaca.

Ia juga atas dasar supaya masyarakat bersimpati kepada perjuangan. Saya memburukkan pemimpin negara, pemimpin politik, ulama, orang perseorangan dan Pusat Islam sendiri. Jadi, selepas saya sedar dan insaf atas ketelanjuran itu, saya ambil kesempatan di sini bahawa saya tidak akan mengulangi perkara yang sama kerana ia akan menimbulkan kebencian satu pihak kepada pihak lain, di samping menimbulkan kekeliruan. Selain itu, saya berharap akan menemui semua pihak yang saya sentuh dalam risalah itu, walaupun ramai.

Soalan: Puan Khatijah, apakah anda sedar kesan daripada tulisan anda dalam majalah yang diterbitkan oleh al-Arqam boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada pelbagai pihak.

Khatijah Aam: Saya ingin nyatakan terlebih dahulu bahawa saya rasa kerdil dalam majlis bersama ulama negara dan anggota Majlis Fatwa Kebangsaan, khususnya kepada guru saya, Datuk Murshid Diraja Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang apabila saya nampak dia rasa hendak menangis dan rasa seperti bertemu kembali dengannya, rasa bersalah kerana beliau barangkali tidak pernah membuat perkara yang tidak baik dan dimurkai oleh Allah SAW. Saya juga ingin menyatakan rasa terharu kerana kesanggupan suami saya mengaku kesalahan besar yang dibuat dan inilah satu kesyukuran dan satu pahala besar kepada pihak yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini.

Menjawab soalan itu, bertolak daripada keghairahan yang tidak boleh dikawal oleh ilmu yang tidak begitu mantap, maka saya banyak menggunakan emosi saya dan juga keghairahan saya yang melulu untuk menyatakan sesuatu yang belum pasti, tetapi saya sudah menyatakan kepastiannya. Dan ini saya lahirkan dalam percakapan dan tulisan saya hingga perkara ini meliar dan tidak dapat dikawal dan ini amat saya kesalkan.

Saya minta maaf kepada semua yang terbabit secara langsung atau sebaliknya. Sebenarnya, tulisan saya dalam rencana di majalah itu tidak diduga akan tersebar dan sebenarnya disebabkan oleh kesilapan mentafsirkan bahawa suami saya berasal dari Bani Tamim, maka berdasarkan keyakinan itu, saya membuat andaian yang bukan-bukan mengenainya. Saya mengakui ia bertentangan dengan kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan saya meminta maaf serta menarik balik dan mengakui adalah satu keterlanjuran emosi dalam tulisan itu.

Soalan: Segala ajaran dan tindak tanduk al-Arqam melanggar undang-undang, mengancam keselamatan negara dan menimbulkan kekeruhan dalam masyarakat.Jika perkara ini berterusan, ia akan memporak-perandakan umat Islam selamanya. Jadi Saudara Jailani Jasmani, apakah saudara sedar perbuatan itu boleh dianggap sebagai fitnah kepada agama dan amat berbahaya. Jenayah fitnah itu adalah satu yang lebih dahsyat, lebih daripada jenayah pembunuhan.

Jailani: Saya rasa sudah jelas jawapan yang diberikan kepada persoalan yang timbul dan saya sebelum ini berkesempatan untuk bermuzakarah, berbincang, berdialog dan bertukar fikiran. Saya sedar selama ini amalan, pegangan dan kepercayaan yang saya amalkan, bertentangan dengan ahli Sunnah Wal Jamaah dan kini amalan itu sudah saya tinggalkan.

Kesempatan ini saya ingin sama-sama mengajak rakan, mungkin bagi mereka yang belum berkesempatan untuk memberi penjelasan bahawa saya melihat kepada dua sudut. Pertama, sebagai hamba Allah tidak terlepas daripada hukum Allah dan sebagai orang yang berkeyakinan dengan Ahli Sunah Wal Jamaah, sumber hukum kita adalah empat, tidak lebih tidak kurang, iaitu al-Quran, hadis, ulama dan qias.

Kedua, sebagai rakyat Malaysia tidak terlepas dan tertakluk kepada undang-undang negara. Jadi sebagai hamba Allah, kita tertakluk kepada undang-undang Allah. Maka saya setelah diberi penerangan, berbincang dan bermuzakarah, saya insaf di atas dua perkara ini dan kembali kepada al- Quran, hadith, ulama dan qias sebagai melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Kita sebagai warga negara Malaysia kembali kepada ketetapan undang- undang negara, maka pagi ini saya ingin menyatakan mengenai kesesalan saya dan saya kembali kepada keyakinan yang asal, berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan dalam soal melanggar undang undang negara, kita wajib mentaati Allah dan wajib setia terhadap undang-undang negara. Bak kata pepatah, dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Soalan: Tentunya sekarang ini Saudara Zabidi Mohamad sudah menyedari ketelanjuran lalu. Bagaimana perasaan saudara sekarang setelah ditemukan dengan keluarga saudara, gambarkan perasaan setelah dapat bertakafakur dan berfikir dengan panjang lebar.

Zabidi: Sesungguhnya apa yang saya alami adalah satu yang di luar dugaan walaupun saya seorang peguam. Saya mengira jika ditahan di bawah ISA, ada deraan dan hukuman, tetapi apa yang saya alami adalah ibarat langit dan bumi, jauh berbeza dengan anggapan saya selama ini kerana saya dilayan dengan baik. Suatu yang memeranjatkan saya sepanjang ditahan, saya berpeluang belajar tajwid dan insya-Allah sehari dua lagi dapat sijil dan yang paling terperanjat sebab sebagai peguam dalam tempoh 60 hari tidak boleh bertemu keluarga, tetapi tiba-tiba dapat bertemu mereka.

Pertemuan yang diatur dengan ulama, pihak keselamatan dan keluarga ini adalah di luar dugaan. Akhirnya saya disedarkan dengan kesilapan dan amalan sebelum ini dan akhirnya kini dapat melihat sendiri kelemahan yang dilakukan selama ini.

Sebagai peguam, saya juga mempunyai saham untuk menimbulkan kekeruhan yang mana saya cadangkan kepada pihak Arqam supaya saman beberapa pihak, termasuk majlis fatwa sendiri dan saya rasa saham saya bergitu besar untuk menimbulkan suasana kekeruhan di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Jadi, di sini secara rasmi saya ingin nyatakan di depan anggota Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa saya menyesal, bertaubat dan sudah meninggalkan amalan yang saya yakini selama ini. Akhirnya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak dan minta ampun dan maaf kepada semua pihak, termasuk kerajaan dan anggota Majlis Fatwa Kebangsaan atas ketelanjuran saya selama ini.

Soalan: Segala ditimbulkan oleh al-Arqam menggerunkan umat Islam. Ia dianggap sebagai suatu kelompok yang dikatakan sesat dan menyesatkan orang lain. Kita sering memohon pada Allah untuk dilindungi daripada perkara itu, tetapi jelas keadaan itu sudah wujud. Bagaimana pendapat saudara Khairil Anwar?

Khiril Anwar: Saya tidak mempunyai asas pendidikan agama sampai ke peringkat universiti, oleh itu apabila di universiti saya sentiasa berdoa untuk mencari kebenaran dan dalam 1973-1974, saya terpaut kepada satu jemaah tabliq yang selalu datang ke Universiti Malaya ketika itu. Saya ingat ia adalah suatu jemaah yang dapat saya bergantung untuk mendapatkan kebenaran untuk mententeramkan jiwa saya dan setelah berkecimpung dua tiga tahun, aktivitinya lebih kepada dari masjid ke masjid dan rasa tak glamour kerana kena pikul belanga. Saya kemudian berpeluang menemui Ustaz Asaari dan sifat keayahannya menarik perhatian saya.

Sekarang setelah ditahan sejak 24 September, walaupun konsep Islam cantik, tetapi jika aqidahnya rosak, bolehlah kita sifatkan sebagai buah yang di luar nampak cantik, tetapi di dalamnya sudah berulat dan buah itu kena buang, jadi saya setuju iaitu buah itu iaitu al-Arqam, diharamkan di bawah Akta Pertubuhan.

Saya bersyukur kepada Allah kerana ditahan. Saya minta ampun dan maaf terlebih lagi kepada Majlis Fatwa Kebangsaan jika ada saya tidak faham dan mengkritik atau memberi hujah yang salah.

Minta ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki dan tidak ketinggalan kepada Pusat Islam yang saya saman dan saya telah tarik balik. Saya meminta pengikut al-Arqam supaya jangan menimbulkan huru-hara dan berhentikan daripada mengambil tindakan mahkamah dan jangan buat demontrasi. Akhir kata, itulah pendirian saya, tidak lain tidak bukan iaitu berpegang kepada empat perkara al-Quran, hadith, ulama dan qias.



Halaman Utama


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved