Peperiksaan : Janji Setelah Sesal
Oleh : A Firdaus
afirdaus1@lycos.com
Peperiksaan rupanya masih lagi berupaya menjadikan saya nervous1. Barangkali kerana itulah kali pertama saya menduduki peperiksaan setelah meninggalkan IPT kira-kira 8 tahun lalu.
Bukan soal takut. Saya yakin, persediaan saya cukup untuk mendapat markah yang agak baik. Cuma geruhnya tetap juga terasa. Dulu saya ambil peperiksaan dalam bilik kuliah atau dewan kuliah yang kapasitinya rendah dan sekali periksa pun cuma melibatkan 100 orang sahaja. Kali ini, buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke Bangunan Peperiksaan UM. Wow ! Luasnya ; ramainya!!! Siap dengan jam tergantung di sana-sini - agak menakutkan juga.
Peperiksaan itu adalah peperiksaan akhir bagi subjek Etika Profesional yang juga merupakan satu-satunya subjek saya semester lepas. Ingat senang? Satu subjek jer2 - kalau kantoi3, bye-bye4 le point5!!!
Saya belum pernah lagi tengok soalannya walaupun contoh soalan telah dipaparkan di laman maya kursus saya sebab saya masih tak boleh login. Ada masalah teknikal (mana adil, kan?).
Tetapi kerana saya yakin markah terkumpul dari tutorial dan tugasan terdahulu sudah agak baik, dan saya hanya perlukan 20-30% sahaja dari markah peperiksaan akhir ini untuk mendapat C+ atau B ; jadi, saya tak risau. Untuk makluman, hanya 50% markah dari markah keseluruhan peperiksaan akhir yang diambil kira.
Saya pun bukanlah belajar gila babi6. Tidak juga. Adalah baca sikit-sikit tapi taklah sampai buat nota, pinjam buku sana-sini, buat perbandingan, cari kat laman web lagi. Kebetulan subjek ini agak mesra dengan saya kerana ianya melibatkan falsafah dan pemikiran yang memang menjadi menu utama minda saya. Jadi, bagi saya ianya agak mudah untuk saya fahami.
Selepas selesai taklimat peraturan peperiksaan, saya pun mulalah membelek kertas soalan. Ada dua kertas. Kertas I - betul atau salah dan sedikit soalan objektif. Kesemuanya bernilai 40 markah. Kertas dua - subjektif. Jawab tiga soalan dan tiap satunya menjanjikan 20 markah. Ingat - hanya 50% sahaja dari markah peperiksaan akhir ini yang akan dicampur-kira bagi menentukan mata. (CGPA).
Selesai membaca kertas pertama, saya senyum. Hanya dua atau tiga soalan yang saya ragu nak jawab apa. Yang lain tu saya yakin, betul. Lepas saya belek kertas II, menung saya.
Saya kena jawab 3 soalan. 2 darinya saya yakin dapat jawab dengan markah dalam tangan sekitar 30/40. Soalan yang akhir - saya pilih yang mana pun - saya tak berapa pasti saya boleh jawab dengan baik. Saya anggap lagi 20 markah hancus. Ada masa - saya `goreng’7.
Saya pun bahagikan masa. Set time8 pada jam tangan saya dan mula menjawab kertas I pada kertas soalan. Jawapan hendaklah dibuat pada borang OMR.
1 jam berlalu. Selesai kertas 1. Saya mula draf jawapan untuk kertas II. Baru saya perasan, saya dah lama tak tulis tangan!!!!
Selama ini saya tulis tangan untuk ambil nota bagi kerja-kerja penulisan saya. Ianya ringkas, tak perlu cantik dan ada masanya, bila balik ke rumah dan saya baca semula - saya sendiri pun tak faham. Semua penulisan saya pada tahun-tahun kebelakangan ini saya draf dan karang terus ke dalam komputer. Menaip ; bukan tulis tangan!!!
Akibatnya? Terkial-kial saya menulis. Udahlah tulisannya tak cantik, besar-besar pula tu. Sampaikan petugas tu bila saya minta kertas dia kata "Takpe, jangan risau, kertas banyak lagi."….Terasa macam diperli pulak. Banyak kali saya fikir - "Kenapalah aku tak ingat yang exam9 ni kena tulis tangan?"
Apapun, saya berhasil jawab 2 soalan subjektif itu dengan agak baik. Jawapan untuk soalan yang ketiga, saya goreng kira mana sempat ajer. Ada markah pun dah kira bonus tu.
Saya pulang dengan kesal di hati.
Pertamanya, soalan subjektif yang keluar semuanya kena dengan ramalan saya. Boring10nya, saya tak boleh jawab semuanya kerana saya tidak cukup bersedia. Tahu sikit-sikit bolehlah. Dia bagi 20 markah. Banyak mana yang perlu ditulis untuk dapat 20 markah tu? Apa yang perlu ditulis? Itu yang saya tak tahu. Bila tak tahu, jawabnya mengarut11lah. Bila mengarut, hasilnya itu tak dapat dijamin.
Keduanya, saya tidak betul-betul bersedia untuk menjawab dengan cemerlang. Saya baca - ya. Tetapi baca sahaja tidak bererti saya boleh menjawab soalan dengan baik. Kalau setakat saya jawab sendiri, saya masih belum pasti apakah jawapan saya mengandungi poins-point yang tutor/pensyarah beri markah. Jawapan soalan subjektif sebelum ini tidak dibincangkan dalam kelas malah cara menjawabnya juga tidak dibincangkan walaupun setelah beberapa minggu tarikh akhir hantar tugasan berlalu.
Bukan nak salahkan sistem. Tetapi ada kelemahan. Pokoknya, apa yang saya buat untuk atasi situasi ini?
Malang juga kerana saya hanya sedar ianya selepas saya ambil periksa. Bak kata orang, dah terhantuk baru termengadah. Apa nak buat - dah terlanjur…kena tanggunglah.
Saya berjanji kepada diri saya, saya akan lebih bersedia untuk peperiksaan akan datang. Saya akan melatih diri menulis dengan baik dan lancar, memastikan cara menjawab dan poins-point yang dicari pensyarah dapat saya hadirkan dalam jawapan subjektif. Yang objektif tu, saya tak risau. Setakat ini, baca gitu-gitu12 sahaja saya sudah boleh jawab dengan baik.
Saya kongsikan kisah benar ini untuk iktibar kita semua. Ada ketikanya bila kita baca, sesuatu tajuk tu, kita rasa macam dah tahu. Tetapi apa buktinya kita dah tahu?
Salah satu caranya ialah cuba menjawab soalan subjektif berkenaan tajuk itu tanpa merujuk kepada buku. `Fresh13’ - hanya berdsasarkan apa yang kita faham. Kemudian semak jawapan tersebut. Kalau banyak yang tak betul, tandanya sebenarnya kita tak tahu lagi. Belum menguasai. Takat rasa-rasa macam dah tahu, tak boleh pakai. Dalam bab point, lebih baik pasti. Kalaupun jawapannya nampak macam betul, jumpa dengan tutor/pensyarah. Bincangkan jawapannya. Apakah ada yang tertinggal? Apa point-point yang dicari - diberi perhatian oleh pensyarah/tutor semasa menyemak dan memberi markah. Apakah point-point itu sama seperti apa yang kita tanggap? Kalau berbeza, inilah masanya kita nak betulkan atau sahkan tanggapan awal kita.
Jangan eksyen14 dengan tanggapan sendiri. Yang bagi markah bukan kita. Jadi, walaupun bagi kita dah betul, kalau tukang bagi markah kata tak tepat - tak tepatlah. Tak tepat bererti markahnya tak penuh. Kadang tu tak dapat langsung, Jadi, lebih baik kita pastikan dengan tukang bagi markah - yang mana satu atau yang macam mana rupanya baru dia bagi markah penuh. Bila dah tahu, baru senang kita nak jawab ikut apa yang dia nak. Kalau tak, bererti kita jawap ikut apa yang kita fikir dia nak. Tak mesti betul - selalunya memang tak betul pun.
Jangan lupa, lain kali bila nak pergi periksa tu, latih tubi menulis tangan. Tak kiralah apa yang ditulis. Nak biasakan. Bagi tulisan tu cantik, senang difahami. Dan - lambat penat.
Hari tu saya tulis baru setengah jam jari dah rasa semacam. Paksa jugalah. Tapi makin lama makin perlahan……Makan masa sedangkan masa yang diberi memang ngam-ngam15.
Jumpa lagi. Selamat melatih jari dan menguji apa yang kita dah faham!
Keterangan :
- nervous - berasa gemuruh, agak mementar ; gugup
- jer - kependekkan saja - dengan ejaan `pasar’.
- kantoi - gagal
- bye-bye - ucapan selamat tinggal/selamat tinggal
- point - mata - dalam artikel ini point membawa dua maksud - pertamaya mata dalam ertikata untuk kiraan CGPA/GPA. Satu lagi maksudnya ialah isu/hujah jawapan yang diberi markah.
- belajar gila babi - belajar dengan amat bersungguh-sungguh
- goreng - main jawap sahaja/belasah jer
- set time - set masa
- exam - peperiksaan
- boring - maksud asalnya bosan. Dalam ayat ini diertinkan dengan kesal, menyampah, tension…..
- mengarut - main tibai/belasah jer
- gitu-gitu - ala kadar
- fresh - segar, asli, dalam konteks ayat - tidak tercemar dengan sumber lain
- eksyen - berlagak, sombong, angkuh, merasa besar
- ngam-ngam - cukup-cukup
A. Firdaus adalah penulis tamu Idealis-Mahasiswa. Beliau masih menuntut di sebuah universiti swasta tempatan dalam jurusan IT. Beliau boleh dihubungi melalui emel afirdaus1@lycos.com
Hanya di http://www.idealis-mahasiswa.net !!!