Dikemaskinikan Pada Ahad, 29 September 2002 8:00 AM

Hisyamuddin Anggap Hidup Di Luar Negara Sebagai Hukuman

Zamzam Omar
Berita Harian, 14 November 1994

LONDON, Ahad - Bekas aktivis pelajar, Hishamuddin Rais, yang dijadual pulang ke tanah air Sabtu ini, mahu menghabiskan masanya selama dua minggu bersama keluarganya di Jelebu, Negeri Sembilan, sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi disoal siasat.

   Beliau menyatakan akan bekerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dengan memberitahu segala kegiatannya selama 20 tahun dalam pelarian tanpa menyembunyikan sebarang rahsia.

   Kepulangannya akan ditemani seorang rakan seperjuangan ketika di Universiti Malaya. Rakan itu juga yang membantu menguruskan permohonannya untuk pulang ke Malaysia.

   Hishamuddin, 42, yang bercakap di sidang akhbar di sini berhubung kepulangannya ke Malaysia, yakin beliau tidak akan ditangkap atau ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berikutan jaminan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

   "Saya diberi jaminan yang kepulangan saya adalah tanpa syarat, namun pada masa yang sama saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa," katanya.

   Hishamuddin yang enggan menjawab pertanyaan sama ada beliau pernah menemui pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, bagaimanapun berkata: "Saya akan memberikan jawapannya apabila disoal siasat oleh pihak berkuasa nanti."

   Menjawab soalan, beliau berkata, hasratnya mahu pulang sudah lama dan pernah memohon selepas menamatkan pelajarannya di sini.

   Bagaimanapun, ketika itu pihak berkuasa Malaysia enggan mengeluarkan pasport kepadanya, sebaliknya hanya menyediakannya satu kertas pengenalan bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan untuk itu, menolak tawaran itu.

    Beliau yakin kerajaan mengubah fikiran membenarkannya balik tanpa syarat berdasarkan perubahan politik dunia, termasuk robohnya Tembok Berlin dan berasakan yang beliau bukan lagi satu ancaman kepada negara. "Hakikatnya, memang selama ini pun, saya bukan ancaman kepada negara."

   Ditanya jika beliau seorang sosialis beliau berkata: "Saya rasa tidak adil untuk melabelkan saya seperti itu. Saya bukan sabun yang dilabel untuk dijual.

   "Namun, tidak dinafikan ketika menjadi pemimpin pelajar, saya memang terpengaruh dengan beberapa pandangan sosialis. Ketika itu, apabila menolak Amerika yang bersikap imperialis, tentunya saya jatuh dalam kategori kedua dan dicap sebagai sosialis."

   Sebagai seorang yang termasuk dalam generasi yang menentang campur tangan Amerika Syarikat dalam peperangan di Indochina, beliau bangga dengan penyertaannya dan tidak pernah berasa bersalah dengan apa yang dilakukan.

   Apa yang berlaku ketika itu ialah pandangan yang tidak selari di antara pelajar dan kerajaan.

   Ditanya sama ada beliau takut dengan apa yang menantinya di Malaysia, beliau berkata tidak ada yang lebih menakutkan dalam hidupnya, kecuali apabila tiba ketika beliau tidak lagi dapat membuat keputusan sendiri.

   Kepada dakwaan setengah pihak yang mempertikaikan mengapa hanya sekarang beliau mahu pulang dan tidak sanggup menghadapi tindakan kerana kegiatan menentang kerajaan dahulu, beliau berkata:

   "Saya juga dihukum dan hukuman saya ialah terpaksa menghabiskan masa berpuluh tahun di luar negara."

   Hishamuddin tidak ada cita-cita politik tetapi hanya mahu menumpukan perhatian di bidang perfileman. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda di bidang Filem dan Fotografi dari Polytechnic of Central London kini University of Westminster.


Bekas Aktivis Pelajar Rindukan Kampung

KIRA-KIRA empat bulan lalu, apabila berkunjung ke sebuah flet di Brixton, di luar pusat kota London, saya diperkenalkan kepadanya sebagai `Hisham' ketika dijemput makan malam bersama beberapa teman.

   Sebulan kemudian saya berbual dengan seorang teman, menyatakan keinginan mahu menemui Hishamuddin Rais, bekas akitivis pelajar pada tahun 1970-an, yang saya dengar menetap di London.

   "Oh! saya mengenalinya tetapi tak mungkin saya dapat mengenalkan anda kepadanya. Rahsia!," kata teman tadi.

   Dalam hati berkata: "Okaylah! Payah sangat nak jumpa. Apa istimewa sangat bekas akitivis ini." Tawar hati mencarinya.

   Tidak lama selepas itu, saya ke National Theatre kerana ada temu janji dengan pengarah filem Shuhaimi Baba yang kebetulan berada di London. `Hisham' turut ada di cafe di situ bersama rakannya dan kami masing-masing bertanya khabar.

   "Itu Hishamuddin Rais," kata Shuhaimi.

   "Aaaa ... itu Hishamuddin Rais?" Terlopong sekejap mulut saya.

   Lelaki berambut gondrong, berpakaian kurang kemas, berselepang beg kulit dengan lakunya agak lepas dan gemar ketawa besar, manakala ketika bercakap, suaranya agak kuat adalah Hishamuddin, yang sudah saya kenali empat bulan lalu!

   Ternyata jangkaan saya jauh meleset kerana selama ini saya membayangkannya seorang yang serius dan berpakaian kemas. Semuanya berlawanan dengan apa yang saya saksikan.

   Apabila menceritakan perkara ini kepadanya ketika temubual kami minggu lalu, Hishamuddin tidak dapat menahan diri tetapi ketawa besar. "Ada kala kita ketawa dan ada masa kita perlu serius," katanya memulakan perbualan.

   Nama Hishamuddin Rais tentu masih segar di ingatan generasi pelajar 1970-an di Malaysia. Bekas aktivis pelajar itu menghabiskan hampir separuh daripada usia mudanya di rantau orang kerana takut ditangkap pihak berkuasa berikutan pembabitannya dalam tunjuk perasaan menentang kerajaan sekitar 1970-an.

   Bagi Hishamuddin, yang tidak pulang ke tanah air selama 20 tahun, tidak ada yang lebih menggembirakannya selain pengumuman Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Megat Junid Megat Ayob di Parlimen baru-baru ini bahawa beliau boleh pulang ke Malaysia kerana tidak lagi menjadi ancaman kepada negara.

   Beliau menyatakan terima kasihnya yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad; Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Megat Junid kerana membenarkannya pulang.

   "Apabila saya pulang ke tanah air nanti, insya-Allah sebelum akhir bulan ini, segala yang bakal saya lihat dan tempuhi adalah baru serta berbeza dengan apa yang saya tinggalkan pada tahun 1975.

   "Saya tahu cabaran berat yang bakal saya lalui dan perkara yang perlu saya belajar. Daripada nama jalan dan bangunan yang pastinya tidak saya kenal, kepada semua yang bernamakan Malaysia perlu dipelajari dan diingati."Pastinya saya mengalami kejutan budaya dan perlu mengorientasi semula diri ini baik dari segi budaya, sosial, kehidupan mahupun agama. Harapan saya, kawan-kawan dapat membantu. Selama ini pun, sokongan emosi kawan- kawan mengekalkan kewarasan saya," katanya.

   Menurut Hishamuddin, impiannya untuk pulang ke kampung halaman bertukar menjadi igauan sejak pengumuman kerajaan itu.

   "Tidak ada yang lebih membahagiakan saya selain pulang ke Kampung Chenor, Jelebu, Negeri Sembilan, untuk menemui ibu bapa saya. Itu harapan pertama saya apabila pulang nanti.

   "Khabarnya, sudah ada jalan baru Jelebu-Kuala Lumpur. Rasanya, saya akan menggunakan jalan lama Seremban-Jelebu yang bengkang-bengkok kerana jalan itu yang saya ingat 20 tahun dulu."

   Rindunya kepada tanah air bukan kepalang, apatah lagi mengenangkan ibunya, Zaleha Sidek yang kini terlantar sakit dan ayahnya, Rais Manaf, kedua-duanya berusia melebihi 70 tahun.

   Hishamuddin yang memasuki usia 40-an, hanya sempat berada di tahun dua di Universiti Malaya dalam bidang sejarah apabila kedudukannya sebagai pemimpin pelajar membawa kepada pembabitan serius dalam demonstrasi ketika itu.

   Beliau terbabit dalam tunjuk perasaan menentang kerajaan berikutan isu rumah setinggan di Tasik Utara, Johor Bahru dan isu kebuluran di Baling, Kedah.

   "Pengalaman pertama ditahan di lokap berikutan isu Tasik Utara tidak begitu enak membuatkan saya takut ditangkap sekali lagi ketika demonstrasi Baling. Kerana itulah saya melarikan diri.

   "Kalaupun saya tidak kesal dengan tindakan melarikan diri itu, sebaik saya melangkah melepasi sempadan tanah air dengan sebuah beg plastik berisi beberapa helai pakaian ... yang pertama menerjah dalam fikiran saya ialah saya pasti pulang semula," katanya.

   Beberapa tokoh lain termasuk Anwar yang ketika itu menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia, Megat Junid, Senator Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Ibrahim Ali, adalah antara pemimpin pelajar yang aktif ketika itu.

   Hishamuddin bagaimanapun tidak menyesali tindakannya kerana beliau percaya, kalau bukan beliau yang mengambil bahagian (dalam tunjuk perasaan pelajar) ketika itu, pasti ada orang lain berbuat demikian.

   "Saya muda ketika itu dan tidak dapat membezakan di antara keistimewaan saya sebagai pelajar dan apa yang berlaku dalam negara. Bukan saya seorang tetapi lebih 10,000 orang di jalan raya berkongsi perasaan di seluruh negara," katanya.

   Apa yang dibimbangkannya ialah kalau masyarakat masih menyimpan tanggapan lama terhadapnya seperti 20 tahun dulu. Tanggapan yang melihat Hishamuddin sebagai aktivis menentang kerajaan.

   "Sudah terlalu lama saya meninggalkan tanah air. Malaysia sudah jauh berubah dan ramai yang dulunya terbabit dalan kegiatan pelajar kini menjadi pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kemakmuran negara. Saya bangga dengan kejayaan mereka.

   "Harapan saya agar tanggapan masyarakat juga berubah terhadap saya. Cita-cita saya hanya mahu menjadi rakyat yang baik, bertanggungjawab dan dapat menyumbang kalau pun sedikit, kepada negara. Saya tidak mahu menyakiti sesiapa pun," katanya.

   Hishamuddin menjelajah ke pelbagai negara termasuk Timur Tengah, Pakistan dan India serta pernah ke Lebanon membantu pelarian Palestin.

   Untuk hidup, beliau melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai tukang sapu sampah dan pelayan restoran di samping menjadi jurugambar dan penulis sambilan.

   Beliau yang menamatkan pengajian bahasa Perancis di sebuah universiti di Belgium dua tahun lalu, juga memiliki kelulusan di bidang perfileman dan berharap dapat berkecimpung di bidang itu apabila pulang nanti.


Halaman Utama


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved